COVID-19: Iran catat 88 kematian, bebaskan banduan

TEHRAN, 21 APRIL – Iran hari ini mengumumkan 88 kematian COVID-19 ketika negara itu membebaskan lebih daripada 1,000 banduan warga asing kerana kebimbangan wabak tersebut.

Menurut jurucakap Kementerian Kesihatan, Kianoush Jahanpour, kematian terbaharu dalam masa 24 jam lalu membawa jumlah keseluruhan kepada 5,297 orang, salah satu daripada negara yang paling teruk terjejas dengan wabak itu.

Banduan asing merupakan antara 100,000 banduan yang dibebaskan sementara dalam beberapa peringkat semenjak Mac. Mereka termasuklah wanita Britain-Iran, Nazanin Zaghari Ratcliffe, diberkas dalam 2016 dan menjalani hukuman penjara lima tahun kerana menghasut.

“Apa yang Iran lakukan dalam menjamin kesihatan banduan dan memberikan kebebasan sementara kepada mereka adalah ‘satu langkah penting’ berbanding yang dilakukan negara-negara lain,” kata jurucakap kehakiman, Gholamhossein Esmaili.

Satu panel pakar hak asasi manusia PBB minggu lalu menyeru Iran untuk memperluaskan senarai banduan yang dibebaskannya sementara kerana wabak COVID-19, termasuklah banduan fahaman politik dan agama dan warga asing serta warga dwi-kenegaraan.

Ia juga membangkitkan kebimbangan dalam penularan di kemudahan tahanan bagi virus tersebut. – AFP