Tuesday, May 13, 2025
29.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    COVID-19 jejas prestasi Man United

    LONDON, 30 DIS – Ralf Rangnick berkata krisis yang berpunca daripada COVID-19 menyebabkan Manchester United mempamer aksi di bawah prestasi sebenar mereka.

    United tidak tewas kesemua empat perlawanan di bawah bimbingan pengurus sementara dari Jerman itu yang menggantikan Ole Gunnar Solskjaer pada bulan lalu.

    Bagaimanapun, penularan COVID-19 di kelab itu menyaksikan United tidak dapat beraksi selama lebih dua minggu sebelum mencatat keputusan mengecewakan apabila seri 1-1 dengan pasukan sedang bergelut, Newcastle.

    United yang akan menanti kunjungan Burnley awal esok, ketika ini menduduki tangga ketujuh Liga Perdana, ketinggalan tujuh mata di belakang Arsenal di tempat keempat namun masih kurang dua perlawanan.

    Ditanya sama ada beliau meraih apa yang dimahukannya pada minggu pertama mengendalikan kelab itu, Rangnick berkata: “Sudah tentu tidak.

    “Setiap jurulatih mempunyai keinginan yang tinggi dan ia tidak ada bezanya antara saya dengan jurulatih lain iaitu mahu meraih pencapaian lebih baik.

    “Tetapi untuk melakukan perkara itu, awda perlu menjalani latihan.

    “Seperti yang awda tahu, kami terpaksa menutup pusat latihan di Carrington selama empat hari. Sebelum itu kami mempunyai antara lapan atau sembilan pemain yang tidak dapat menyertai pasukan.

    “Selepas perlawanan bertemu Norwich, para pemain hanya kem bali dengan jumlah yang kecil.

    “Sejak tiga hari lalu, kami hampir memperoleh skuad lengkap tetapi tidak banyak yang dapat kami lakukan ketika sesi latihan,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda