Tuesday, May 13, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    COVID-19: kehidupan di favela Brazil semakin mendesak

    SANTOS, BRAZIL – Penduduk di Dique va Vila Gilda terpaksa melangkah berhati-hati ketika berjalan di sekitar kawasan favela (setinggan) dengan laluan kayu bagi pejalan kaki yang usang, sambil terpaksa menahan bau busuk dari perairan berhampiran.

    Deise Nascimento dos Santos, 54, salah seorang penduduk kejiranan itu yang memegang gelaran favela terbesar di Brazil – mengalami nasib malang apabila terpaksa menerima 23 jahitan kerana jatuh di luar rumahnya.

    “Sekiranya anda jatuh di sini, anda tinggal di sini,” katanya.

    Dibina di atas tiang kayu yang tinggi dan runcing di kawasan bakau di pinggir sungai Bugres, Dique da Vila Gilda merupakan sebahagian dari Santos, sebuah bandar di pantai tenggara Brazil yang terkenal dengan kebun di tepi pantai dan pelabuhan terbesar di Amerika Latin.

    Tetapi favela adalah dunia yang terpisah dari daerah peranginan, percutian untuk hujung minggu dari Sao Paulo yang kaya. Di sini, dermaganya basah dan dipenuhi sampah, rumah-rumah dibina dari logam berkarat dan kayu membengkok dan penduduk berjuang untuk bertahan di sana.

    Kelihatan penduduk melalui jalan kayu yang usang. – AFP
    Pada waktu surut, segelintir penduduk berkayuh menggunakan rakit buatan sendiri, memancing ikan untuk makanan tengah hari mereka. – AFP
    Juliana de Silva Barbosa dan anak damitnya berada di rumah mereka yang dibina di atas tiang kayu di Dique da Vila Gilda favela. – AFP
    Salah seorang penduduk favela merambat ikan untuk makanan tengah harinya. – AFP
    Pemandangan dari udara kawasan setinggan Dique da Vila Gilda di Santos, Sao Paulo, Brazil. – AFP

    Pandemik koronavirus yang telah meragut lebih daripada setengah juta nyawa di Brazil, yang kedua setelah Amerika Syarikat telah memburukkan lagi ketidaksamaan pembahagian tempat seperti Dique da Vila Gilda dari sisi bandar yang lebih istimewa.

    Tetapi COVID-19 adalah satu dari senarai panjang kesengsaraan di kawasan setinggan, yang dimulakan seperti kebanyakan favela oleh pendatang luar bandar yang tiba di bandar mencari pekerjaan dan membina rumah-rumah yang tidak selesa di satu-satunya ruang yang dapat mereka temukan.

    “Di sini terdapat tikus, lipas, demam denggi, virus chikungunya – semuanya,” kata jiran Dos Santos, Eliette Alves.

    Dia menghabiskan hampir 70 peratus wang pencennya untuk membayar sewa 500-reais (AS$100) pada pondok yang dia diami dengan anaknya, walaupun lantai rumah itu rosak disebabkan oleh air dan ada lubang yang terbuka di bilik tidurnya di mana dia dapat melihat sungai di bawah.

    Ketakutan terbesarnya adalah mati dalam kebakaran, seperti yang meranapkan bebe-rapa buah rumah jirannya pada April lalu.

    “Sangat mengerikan – suara kayu berkertak. Yang dapat saya lakukan hanyalah berdoa kepada Tuhan agar api tidak melarat di sini,” katanya.

    Favela dihubungi dengan rangkaian laluan pejalan kaki sementara di antara pondok-pondok, lubang di papan yang ditambal dengan potongan kayu dan kadbod.

    Di bawahnya, sampah yang dibuang oleh 26,000 masyarakat di sana, bergenang di perairan yang berbau busuk.

    “Saya tidak akan mengatakan kami cukup memiliki sesuatu. Jika cukup bermakna, kami akan ada makanan, pekerjaan, pendidikan, perumahan yang layak,” kata Lucileia Siqueira de Santos, 39.

    Dia tidak menyokong Presiden Brazil, Jair Bolsonaro, yang dikatakannya gagal membela nasib rakyat miskin Brazil. Dia malah menggelarnya ‘genocidal maniac’, yang digunakan pemimpin kanan pengkritik untuk mengecam tindak balas koronavirus antipenutup mulut dan hidung dan antiperintah berkurung.

    Tetapi kekecewaan semakin mendalam disebabkan perkara itu. Pandemik itu menjadikan keadaan mendesak semakin memburuk, mengakibatkan ramai di favela yang kehilangan pekerjaan mereka.

    “Semua orang bercakap mengenai COVID-19, tetapi kami menghadapi banyak masalah lain,” katanya kepada AFP.

    Juliana da Silva Barbosa, 35, adalah salah satu contohnya. Seorang ibu tunggal membesarkan enam anaknya di sebuah pondol kecil dua bilik, dia kehilangan pekerjaannya sebagai pengasuh kerana wabak itu dan kini bertahan atas bantuan. Dia benci tiadanya persekolahan dan internet untuk mendidik anak-anaknya.

    “Ahli-ahli politik hanya datang ke sini apabila mereka memerlukan suara kami. Tempat ini seperti bom berdetik,” katanya.

    Dia telah melarikan diri dari COVID-19 sejauh ini, tetapi dijangkiti virus chikungunya, jangkitan virus yang disebabkan oleh nyamuk.

    Keadaan yang sesak dan kekurangan sanitasi di favela menyebabkan penduduk sangat terdedah dengan penyakit berjangkit. Perkhidmatan kesihatan tidak ada di kawasan setinggan.

    “Ambulans hanya datang ke sini apabila seseorang mati,” kata Barbosa.

    “Pekerja sosial yang biasa datang meninggal dunia kerana COVID-19,” kata Julio Silva, 39, yang juga kehilangan pekerjaan kerana wabak itu.

    Pada waktu surut, segelintir penduduk akan berkayuh di perairan menggunakan rakit buatan sendiri dan memancing atau merambat untuk mendapatkan ikan bagi makanan tengah hari mereka.

    Giovani Ferreira, 36, menebarkan jaringnya dan menariknya kembali kosong beberapa kali. Tetapi dia tidak berputus asa. Sebelumnya, dia berjaya menaikkan ikan tilapia dan mullet. “Air pasang selalu membawa sesuatu,” katanya sambil tersenyum.

    Seorang lagi penduduk, Lucileia bagaimanapun kurang optimis. “Kami dalam ihsan Tuhan di sini,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda