COVID-19: Kematian global cecah lebih 600,000 orang

PARIS, 19 JULAI – Pandemik COVID-19 sudah meragut 603,286 nyawa daripada 14,387,558 mangsa yang dijangkiti virus itu, manakala 8,577,327 pesakit disahkan sudah sembuh di seluruh dunia setakat pagi tadi.

Benua Eropah mencatatkan kadar kematian tertinggi dengan 205,065 mangsa diikuti Amerika Latin, di mana virus itu kini semakin pantas merebak, merekodkan 160,726 kematian. Amerika Syarikat (AS) selaku negara paling terjejas di dunia, mencatatkan 142,830 kematian diikuti Brazil (78,735), dan Britain (45,273).

Ini diikuti dengan Mexico (38,888 kematian) dan Itali dengan 35,042 kematian.

Jumlah kematian akibat COVID-19 bertambah sekali ganda dalam tempoh dua bulan lalu dengan lebih 100,000 kematian dilaporkan dalam tempoh tiga minggu sejak 28 Jun lalu.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) melaporkan 72,045 kes baharu COVID-19, sekali gus mencatat rekod kes harian tertinggi sejak pandemik itu bermula. Sejumlah 926 kematian baharu dilaporkan CDC Jumaat lalu.

Sementara itu, sejumlah 47,313,367 ujian dilaporkan CDC pada Jumaat, dengan 4,370,863 disahkan positif, menjadikan kadar jumlah positif kepada sembilan peratus. Hampir 3.68 juta kes COVID-19 dilaporkan di AS dengan kadar kematian melepasi 139,700 setakat semalam, berdasarkan perangkaan oleh Universiti John Hopkins. – AFP

Pesakit dilihat terbaring di sebuah katil di ruang kecemasan di salah sebuah hospital di Paris. Pandemik COVID-19 sudah meragut 603,286 nyawa daripada 14,387,558 mangsa yang dijangkiti virus itu. – AFP