COVID-19: Kes baharu meningkat 6,288

KUALA LUMPUR, 17 NOV – Jumlah kes baharu COVID-19 merekodkan peningkatan kepada 6,288 hari ini berbanding 5,413 kes semalam, menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dr Noor Hisham berkata daripada jumlah itu sebanyak 98 peratus atau 6,163 kes adalah daripada kategori satu dan dua, manakala 125 kes atau dua peratus adalah kategori tiga, empat dan lima.

Berdasarkan kes yang dilaporkan juga, beliau memaklumkan nilai kadar kebolehjangkitan (Rt) negara kini mencatatkan angka 1.04, dengan Putrajaya mencapai Rt tertinggi iaitu 1.15 diikuti Negeri Sembilan (1.06) dan Kuala Lumpur serta Selangor masing-masing 1.05.

“Jumlah kes kumulatif COVID-19 kini 2,563,153 dengan lapan lagi kluster baharu dikenal pasti, menjadikan jumlah kluster aktif kini 247,” katanya.

Setakat 11:59 malam tadi, seramai 22,332,571 individu atau 95.4 peratus daripada populasi dewasa telah lengkap menerima suntikan vaksin COVID-19.

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan (KKM) melalui laman COVIDNOW, sejumlah 22,882,504 individu atau 97.7 peratus bagi populasi dewasa pula telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksinasi.

Bagi populasi remaja pula, 81 peratus atau 2,549,437 individu telah lengkap divaksinasi manakala 87.2 peratus atau 2,743,176 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19. Sebanyak 121,232 dos vaksin diberikan semalam melibatkan 25,439 suntikan dos lengkap, 6,707 menerima dos pertama dan 89,086 pula mendapat suntikan dos penggalak. – Bernama