COVID-19: Kes baharu turun, 1.8% kategori tiga ke atas

KUALA LUMPUR, 1 SEPT – Kes baharu harian COVID-19 di Malaysia hari ini turun kepada 18,762 dalam tempoh 24 jam lepas berbanding 20,897 kes semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi hantaran di akaun Twitter rasmi berkata jumlah kumulatif kes positif kini adalah sebanyak 1,765,016 kes.

Selangor kekal mencatatkan jumlah kes harian tertinggi namun jumlah kes hari ini merekodkan penurunan kepada 3,711 kes berbanding 4,371 semalam.

“Ia diikuti Sabah 2,430 kes, Sarawak (2,414), Johor (1,993), Pulau Pinang (1,762), Kedah (1,585) dan Kelantan (1,504).

“Perak mencatatkan 899 kes, Pahang (715), Kuala Lumpur (573), Terengganu (506), Melaka (309) dan Negeri Sembilan (291),” katanya.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar (kanan) pada sidang media di kementeriannya hari ini. Turut kelihatan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah (kiri). – Bernama

Tiga negeri kekal mencatatkan kes bawah 100 iaitu Putrajaya 34 kes, Perlis (33) dan tiga kes di Labuan.

Manakala itu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam kenyataan hari ini berkata hanya 1.8 peratus atau 330 kes daripada 18,762 kes yang dilaporkan dalam tempoh 24 jam lepas adalah daripada kategori tiga, empat dan lima.

Selebihnya iaitu 18,432 kes atau 98.2 peratus adalah daripada kategori satu dan dua, ujarnya.

Menurutnya daripada keseluruhan kes baharu itu sebanyak 46 peratus atau 8,640 kes melibatkan mereka yang tiada sejarah vaksinasi, 28.9 peratus atau 5,416 kes (lengkap vaksinasi) dan 25.1 peratus atau 4,706 kes (sekurang-kurangnya menerima satu dos vaksin).

“Daripada jumlah kes baharu juga, lima adalah kes import melibatkan tiga warganegara dan dua rakyat asing, manakala 18,757 kes melibatkan penularan dalam negara iaitu 16,532 warganegara dan 2,225 rakyat asing,” katanya.

Sementara itu, seramai 15,032,301 individu atau 64.2 peratus daripada populasi dewasa di Malaysia telah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 setakat semalam, menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV). – Bernama