PUTRAJAYA, 30 JULAI – Kes positif COVID-19 kembali kepada satu angka iaitu sebanyak lapan kes baharu dilaporkan, menjadikan jumlah kes positif di negara ini kini 8,964 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada lapan kes baharu itu, tiga adalah kes import melibatkan dua warganegara dan satu bukan warganegara yang dibenarkan masuk ke Malaysia.
“Tiga kes import tersebut adalah dari negara Kazakhstan (satu kes di Selangor);
Indonesia (satu kes di Kedah) dan Filipina (satu kes di Sabah),” katanya pada sidang media harian mengenai perkembangan COVID-19 di sini hari ini.
Dr Noor Hisham berkata lima kes penularan di dalam negara adalah dalam kalangan warga tempatan iaitu di Wilayah Persekutuan (satu kes saringan di sebuah pusat perubatan; Johor (satu kes saringan prapembedahan di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Pahang).
Manakala di Sabah, tiga kes iaitu satu kes saringan rujukan ke hospital di Hospital Queen Elizabeth; satu kes saringan hospital di Hospital Queen Elizabeth; dan satu kes saringan prapembedahan di Hospital Tawau. – Bernama