Wednesday, July 16, 2025
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    COVID-19: Kluster terbesar jemaah tabligh Seri Petaling tamat

    PUTRAJAYA, 8 JULAI – Kluster COVID-19 terbesar negara iaitu kluster perhimpunan jemaah tabligh di Masjid Seri Petaling berjaya merekodkan sifar kes sekali gus diisytihar tamat pada hari ini.

    Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster itu dikesan susulan perhimpunan keagamaan di masjid tersebut yang berlangsung dari 27 Feb sehingga 3 Mac lepas serta dihadiri seramai 16,000 orang melibatkan 14,500 warganegara Malaysia dan 1,500 bukan warganegara dari pelbagai negara.

    “Kementerian Kesihatan (KKM) dengan sukacitanya ingin memaklumkan bahawa, kluster COVID-19 terbesar di Malaysia, iaitu Kluster Perhimpunan Seri Petaling adalah diisytihar tamat pada hari ini.

    “Kes positif COVID-19 pertama kluster ini dilaporkan di dalam negara pada 11 Mac 2020 (iaitu seminggu selepas perhimpunan berakhir), iaitu kes ke-131 dan kes ke-136 melibatkan warganegara Malaysia dari Pahang dan Negeri Sembilan yang telah hadir perhimpunan tersebut,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di sini, hari ini.

    Dr Noor Hisham berkata kluster itu besar kemungkinan berpunca dari luar negara dan kemudiannya tular di dalam komuniti melalui aktiviti perhimpunan secara besar-besaran melalui kontak rapat kes yang positif.

    Dr Noor Hisham berkata sehingga 8 Julai, seramai 42,023 individu telah disaring dalam kluster itu dan daripada jumlah tersebut, 3,375 kes telah dilaporkan positif COVID-19. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda