COVID-19: Labuan catat sifar kematian 60 hari berturut-turut

LABUAN, 3 OKT – Labuan telah merekodkan sifar kematian akibat COVID-19 untuk tempoh 60 hari berturut-turut susulan peningkatan aktiviti vaksinasi.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata bagaimanapun, penduduk setempat masih perlu hidup bersama virus berbahaya itu.

“Melihatkan trend kes sejak dua bulan lepas, Wilayah Persekutuan ini menyaksikan penurunan ketara bagi kes COVID-19 yang serius susulan langkah meningkatkan aktiviti vaksinasi.

“Labuan dilihat hampir berjaya menghapuskan COVID-19, dengan mencatatkan sifar kes sekali lagi hari ini dan sifar kematian untuk tempoh 60 hari. 

Bagaimanapun, kita tidak pasti berapa lama kejayaan ini mampu bertahan,” katanya kepada Bernama hari ini.   

Beliau juga berkata kemunculan varian Delta telah mengakibatkan lonjakan kes harian dengan jumlah kematian yang tinggi sehingga membawa kepada pembinaan hospital medan.

“Kemunculan varian Delta adalah pengajaran agar kita sentiasa bersedia dalam mendepani situasi terburuk dan keperluan menjaga pintu masuk ke negara kita bagi mengelak kemungkinan berlaku penyebaran COVID-19 yang berpunca daripada pengunjung,” katanya. – Bernama