PARIS, 29 OKT – COVID-19 terus meningkat di Eropah minggu ini, khususnya di timur benua itu tetapi mencatat penurunan di beberapa wilayah lain di dunia.
Angka kes baharu harian glo-bal meningkat selama dua minggu berturut-turut kepada lima peratus iaitu 432,100 kes, menurut statistik yang dikumpul AFP semalam.
Bagaimanapun, kes disahkan hanya mencerminkan sebahagian kecil daripada jumlah sebenar jangkitan, dengan amalan perakaunan berbeza dan tahap ujian yang berlainan mengikut negara.
Sebahagian besar peningkatan kes global berlaku di Eropah, yang mencatat pertambahan 14 peratus dalam jumlah kes harian baharu direkodkan sepanjang minggu, dengan keadaan semakin teruk sejak hampir dua bulan lalu.
Negara yang mengalami lonjakan terbesar semuanya terletak di Eropah, terutamanya di timur dengan Republik Czech menyaksikan kes dua kali ganda lebih tinggi pada 101 peratus.
Di Hungary, kes meningkat 92 peratus, diikuti Denmark (80 peratus), Poland (70 peratus), Croatia (65 peratus) dan Slovakia (63 peratus).
Bagaimanapun, keadaan bertambah baik di setiap rantau lain di dunia dengan penurunan 16 peratus kes di Asia Barat manakala melebihi lebih 11 peratus di Afrika.
Asia pula mencatatkan enam peratus, tiga peratus di Amerika Latin atau zon Caribbean, dua peratus di Oceania manakala kurang satu peratus di Amerika Syarikat (AS) serta Kanada. – AFP