Monday, May 12, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    COVID-19 makin mengganas, 5,725 kes baharu di M’sia

    KUALA LUMPUR, 29 JAN – Buat pertama kali sejak penularan COVID-19 dikesan di negara ini, jumlah kes harian menghampiri 6,000 apabila sebanyak 5,725 kes dilaporkan dalam tempoh 24 jam lepas, iaitu kes harian tertinggi setakat ini.

    Angka harian tertinggi sebelum ini ialah 4,275 kes yang dilaporkan pada 23 Jan lalu.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah kes baharu itu, 5,718 adalah penularan tempatan dan baki tujuh lagi merupakan kes import, membabitkan lima rakyat tempatan dan dua warga asing.

    Selain itu, sebanyak 16 kematian dilaporkan dalam tempoh sama, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 733 kes, katanya menerusi akaun Twitter rasmi beliau hari ini.

    “Pada masa ini terdapat 301 kes yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 115 memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

    Memperincikan kes kematian hari ini, Dr Noor Hisham dalam kenyataannya berkata Selangor mencatatkan sembilan kematian, dua di Sabah dan masing-masing satu di Kuala Lumpur, Sarawak, Melaka, Kelantan dan Perak.

    Sebanyak 3,423 kes sembuh dicatatkan dalam tempoh sama, menjadikan angka kumulatif sembuh daripada COVID-19 berjumlah 157,722 orang, katanya. – Bernama

    Petugas kesihatan melakukan ujian saringan COVID-19 terhadap sebahagian penduduk Orang Asli Desa Temuan ketika tinjauan di Dewan Desa Temuan, Bukit Lanjan, dengan jangkitan COVID-19 Malaysia hampir mencecah 6,000 kes. -Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda