KUCHING, 28 APRIL – Sekumpulan lapan pakar perubatan dari China yang kini berada di Sarawak kagum dengan hasil yang dicapai oleh negeri itu dalam usaha membendung pandemik COVID-19.
Konsul Jeneral Republik China di Kuching, Cheng Guangzhong hari ini berkata pakar terbabit yang diketuai Naib Presiden Hospital Perubatan Tradisional Cina Wilayah Guangdong Dr Li Jun menzahirkan rasa puas hati mereka selepas melawat Hospital Besar Sarawak dan beberapa kemudahan kesihatan lain di sini.
“(Pakar China terbabit berkata) Strategi yang digunakan di sini berbeza namun hasilnya amat hebat. Petugas penjagaan kesihatan anda (Sarawak) dan barisan hadapan yang lain juga telah bekerja keras,” menurutnya dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas kunjungan hormat ke atas Timbalan Ketua Menteri I Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas hari ini.
Selain Dr Li, yang merupakan Ketua Pakar Perubatan dan Penyelia Penuntut Lepasan Ijazah Perubatan Kecemasan Barat Hospital Perubatan Tradisional Cina Wilayah Guangdong, pakar lain yang turut serta ialah Dr Wen Miaoyun, Dr Zhang Youping, Dr Liu Tao, Dr Sun Jiufeng, Dr Yang Shifang, Dr Luo Xiaodan dan Dr Liu Xiangxin.
“Mereka datang untuk melakukan pemerhatian dan melihat bagaimana China boleh membantu menambah baik pengurusan dalam rawatan bagi memulihkan pesakit COVID-19. Jadi kami datang ke sini untuk menghulurkan bantuan dalam situasi yang amat kritikal ini. Adalah penting China dan Malaysia boleh bekerjasama sepenuhnya dalam membantu antara satu sama lain,” kata Cheng.
Sementara itu, Uggah yang mewakili Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada majlis kunjungan hormat tersebut berkata Sarawak melakukan pemerhatian yang teliti, mengkaji dan belajar dari China serta negara lain yang berjaya dalam perjuangan mereka menentang COVID-19. – Bernama
