Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    COVID -19 pemangkin perubahan ke arah digital

    Oleh Sim Y. H.

    Penularan wabak COVID-19 secara global telah merubah kehidupan manusia 360 darjah dan sehingga kini dunia masih di bawah ancamannya. Tidak dapat dinafikan, penularan virus dan arahan-arahan ‘teranah di rumah’ serta penjarakan fizikal telah memberikan kesan dan merubah bagaimana kita mengendalikan urusan seharian dalam norma baharu.

    Ini tidak terkecuali dengan cara pembayaran ke atas pembelian yang kita lakukan. Dalam hal ini, kehadiran virus telah menjadi pemangkin kepada pertumbuhan transaksi digital di mana ia telah mengembangkan keperluan untuk membuat pembayaran melalui internet dan aplikasi mudah alih.

    Pada masa yang sama, turut dapat disaksikan bahawa e-dagang dan dagang mudah alih (mobile commerce) telah meningkat pada kadar yang pantas kerana para pelanggan lebih cenderung memilih untuk membuat pembelian secara dalam talian.

    Di samping itu, dengan perubahan tabiat pembelian dan pembayaran di kalangan pengguna, ramai peniaga juga telah mengambil peluang berkenaan untuk meningkatkan keuntungan dengan menyertai trend itu.

    Dengan mengambil kira pembayaran secara dalam talian memerlukan sedikit atau tiada kontak langsung, atau tidak memerlukan sebarang interaksi fizikal, pembayaran secara digital adalah satu kaedah pembayaran yang dapat dipraktikkan sambil mengamalkan penjarakan fizikal. Oleh itu, Marilah Kita Menuju Ke Arah Digital!

    Sehubungan dengan itu, Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) akan mengongsi beberapa artikel mengenai pembayaran digital di Negara Brunei Darussalam, yang merangkumi kelebihan-kelebihannya, jenis-jenis perkhidmatan dan platform pembayaran digital yang ditawarkan di negara ini, dan cara-cara untuk menggunakannya dengan selamat.

    Pembayaran digital memberikan pilihan kepada para pengguna untuk membuat pembayaran dan pembelian dengan lebih selamat. – Gambar hiasan

    Kelebihan pembayaran secara digital

    Pembayaran secara digital membuka ruang bagi meningkatkan kecekapan serta memberikan kemudahan kepada pengguna. AMBD menerangkan bahawa pembayaran secara digital adalah mudah dan cekap di mana pengguna tidak lagi perlu membawa wang tunai fizikal pada setiap masa. Mereka juga dapat menjimatkan masa kerana tidak perlu beratur di kaunter perkhidmatan untuk menguruskan pembayaran bil.

    Manakala, dari segi keselamatan, AMBD menyatakan bahawa memegang atau membawa wang yang banyak atau bernilai tinggi, atau cek yang berjumlah besar boleh menyebabkan individu terdedah kepada masalah-masalah seperti tersalah letak wang atau menjadi mangsa kecurian.

    Oleh itu, pembayaran digital memberikan pilihan terbaik kepada para pengguna untuk membuat pembayaran dan pembelian dengan lebih selamat melalui kawalan teknologi dan langkah-langkah keselamatan seperti pengesahan identiti pelanggan dan kawalan akses.

    Pembayaran secara digital juga memberikan kemudahan kepada pengguna dari segi memantau dan mengurus kewangan. Pembayaran secara digital dapat membantu memudahkan penyimpanan rekod dan pengurusan kewangan seperti penyediaan bajet, penyimpanan secara aktif melalui arahan debit secara langsung dan sebagainya.

    Jenis-jenis pembayaran secara digital

    Pada ketika ini, terdapat beberapa jenis perkhidmatan dan platform pembayaran digital yang digunakan di Negara Brunei Darussalam termasuk terminal layan sendiri, seperti automated teller machine (ATM) dan cash deposit machine (CDM).

    Dengan penularan wabak COVID-19, orang ramai disarankan untuk mengamalkan penjarakan fizikal sebaik mungkin. Justeru, masyarakat disarankan untuk merujuk laman sesawang dan aplikasi mudah alih bank peribadi bagi mengetahui lokasi-lokasi ATM dan CDM di negara ini.

    Salah satu langkah yang terbaik untuk mencegah diri daripada jangkitan adalah tidak pergi ke tempat perkumpulan ramai. Oleh itu, kita boleh mengelakkan dari berhimpun atau beratur dengan menggunakan perkhidmatan perbankan dalam talian atau aplikasi mudah alih untuk membayar bil-bil. Kemudahan pengurusan kewangan kini di hujung jari kita!

    Pembayaran mudah alih (melalui kod QR), kad debit dan kredit diperkenalkan sebagai inisiatif pembayaran tanpa sentuhan. Dengan hanya menggunakan telefon bimbit atau pembayaran tanpa sentuhan, transaksi dapat dilaksanakan tanpa memerlukan kontak secara fizikal.

    Melalui kaedah pembayaran ini, orang ramai boleh membuat transaksi dengan mudah serta dapat memantau status kewangan mereka demi mengelakkan daripada berbelanja secara berlebihan.

    Gerbang pembayaran, ataupun payment gateway, seperti yang digunakan di laman-laman sesawang e-dagang. Masyarakat juga boleh membeli barang keperluan dengan mudah secara dalam talian. Pastikan laman sesawang tersebut menggunakan perkhidmatan payment gateway yang membolehkan transaksi dibuat dengan selamat. Sentiasa menyemak dan mengesahkan kesahihan laman sesawang tersebut dengan pihak-pihak berkuasa yang berkenaan sebelum membuat sebarang transaksi.

    Satu lagi jenis pembayaran secara digital ialah e-pembayaran di mana terdapat beberapa buah syarikat fintech (teknologi kewangan) di bawah AMBD Fintech Regulatory Sandbox yang menawarkan produk atau perkhidmatan digital kepada orang ramai.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda