Sunday, May 11, 2025
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    COVID-19 rancakkan perniagaan sotong tutok

    KUCHING – Bermula dengan hanya berniaga di pondok kecil di depan rumah, Dayang Zunika Abang Adenan, 56, kini menjadikan media sosial sebagai saluran untuk memasarkan sotong tutok dan sotong gilingnya.

    Pondok kecil yang didirikan di depan rumahnya di Kampung Nombor Enam di sini, merintis perjalanannya sebagai pengusaha dua sajian popular di Sarawak itu, khususnya pada bulan Ramadan, namun kini pelanggannya mempunyai pilihan sama ada datang sendiri ke gerainya atau membuat pesanan secara maya.

    “(Pandemik) COVID-19 menyedarkan saya perniagaan ini tidak boleh bergantung pada pelanggan yang datang tetapi menghantar produk kepada mereka (menerusi pemasaran media sosial),” katanya ketika ditemui Bernama di sini baru-baru ini.

    Sotong tutok yang merupakan frasa bahasa Melayu Sarawak bermaksud sotong yang diketuk dan sotong giling Dayang Zunika sudah tidak asing bagi masyarakat di bandar raya ini, yang mana sejak tiga dekad lepas, gerainya yang terletak di sebuah perkampungan Melayu di sini akan menjadi tumpuan umat Islam untuk membeli hidangan itu sebagai juadah berbuka puasa.

    “Pelanggan yang datang mempunyai pilihan untuk membeli sotong giling yang diproses menggunakan alat penggiling ataupun sotong tutok yang ditumbuk rata menggunakan tukul yang dijual antara RM10 dan RM18, bergantung pada saiznya,” katanya.

    Sotong Tutok yang merupakan frasa Bahasa Melayu Sarawak yang membawa maksud sotong yang diketuk dan Sotong Giling. – Bernama
    Kelihatan Dayang Zunika menggiling sotong di gerainya yang terletak di salah sebuah perkampungan orang Melayu di tengah-tengah kota raya. – Bernama

    Dayang Zunika berkata sewaktu mula-mula menjalankan perniagaan itu pada awal 1990an, beliau menggunakan kayu api untuk memanggang sotong tersebut sebelum diproses menjadi sotong tutok dan sotong giling.

    Namun selepas beberapa tahun, beliau memilih untuk memanggang sotong menggunakan dapur gas yang disifatkan lebih praktikal.

    Gerai kayunya juga sudah digantikan dengan kanopi yang moden dan selesa, namun beliau sedar produknya mampu pergi lebih jauh sekiranya turut dipasarkan secara dalam talian.

    Kini, selain dibantu anak-anak yang lebih arif tentang media sosial, Dayang Zunika turut mengupah dua pekerja bagi membuat penghantaran ke rumah pelanggan di sekitar bandar raya.

    “Pada mulanya saya agak bimbang juga dengan kesan (pandemik) COVID-19 ini kepada perniagaan saya tetapi nampaknya ia telah membuka peluang baharu untuk meluaskan lagi pasaran saya dengan menggunakan kaedah perniagaan dalam talian,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda