COVID-19 rumitkan usaha pembedahan pemindahan organ

MAJADAHONDA, SEPANYOL – Cahaya biru yang menyala, sebuah kereta ambulans memecut laju di sebatang jalan di Madrid menuju ke lapangan terbang, perkataan ‘pendermaan organ’ terpampang di bahagian sisi kenderaan, kereta-kereta banyak yang berhenti untuk memberikan laluan.

Pasukan pemindahan organ sedang dalam perjalanan untuk mendapatkan jantung seseorang, yang akan digunakan untuk menyelamatkan nyawa seorang pesakit lain yang sudah dalam keadaan bersiap sedia.

Dengan keadaan pandemik koronavirus yang memberikan cabaran kepada pakar pemindahan organ terkemuka di Sepanyol, penerimanya sangat bernasib baik.

Tahun lalu, jumlah prosedur seperti itu menurun secara dramatik dengan unit rawatan rapi lumpuh di seluruh negara.

Sebuah pesawat peribadi sedang menunggu di lapangan terbang Barajas di Madrid, juruterbangnya duduk di ruang kawalan dengan tiga pegawai perubatan memakai pakaian hijau bersedia untuk berlepas, seorang menarik sebuah kotak pendingin berwarna biru.

Pakar bedah, Susana Villar (kanan) dan Juan Esteban de Villarreal (kiri) menjalankan pembedahan pemindahan organ di hospital Puerta de Hierro, Majadahonda.- AFP
Organ hati yang rosak diletakkan di atas meja ketika pembedahan dijalankan.- AFP
Sebuah kereta ambulans bergegas menuju lapangan terbang.- Agensi

Dalam undang-undang di Sepanyol, lokasi penderma mestilah dirahsiakan.

“Apa yang telah berubah disebabkan pandemik adalah jumlah pemindahan,” kata ErikaMartinez, 41, seorang pakar jururawat yang menaiki pesawat dan terlibat dalam kira-kira 450 pembedahan pemindahan organ.

“Masalah utama terutama semasa gelombang pertama ialah unit rawatan rapi lumpuh di seluruh hospital,” tambahnya.

Dengan kes COVID-19 semakin meningkat di seluruh negara, unit rawatan rapi, yang mana sangat penting bagi pembedahan pemindahan, secara tiba-tiba dibebani dengan jumlah pesakit kritikal yang tidak pernah disaksikan sebelum ini.

“Penderma mesti dikenalpasti di unit rawatan rapi,” jelas Beatriz Dominguez-Gil, pengarah umum di Pertubuhan Pemindahan Kebangsaan Sepanyol (ONT).

Di sana, mereka terus dihidupkan secara tiruan, menunggu organ untuk dikeluarkan.

Dan ia juga di mana pesakit yang menerima organ ‘terpaksa menghabiskan masa sekurang-kurangnya beberapa hari pertama selepas pemindahan,” katanya.

Disebabkan itu, pesakit COVID-19 memenuhi ruang unit rawatan rapi, jumlah prosedur seperti itu menurun kira-kira 20 peratus pada tahun lalu.

Malahan sebelum itu, Sepanyol mengekalkan jumlah tertinggi berban-ding negara-negara lain sebelum pandemik, dengan 37.4 penderma per sejuta penduduk pada tahun 2020 berbanding 29.4 di Perancis dan 36.1 di Amerika Syarikat pada 2019.

Dan mereka mengekalkan status sebagai pendahulu dunia, membuat kira-kira lima peratus dari jumlah keseluruhan pemindahan di seluruh dunia, meskipun ia hanya mewakili 0.6 peratus penduduk global.

Amparo Curt adalah salah seorang yang menjalani prosedur rumit tersebut ketika kemuncak gelombang pertama.

Tahun lalu pada bulan Mac, dia telah ditempatkan dalam senarai menunggu bagi pemindahan segera sebelum menunjukkan autoimun hepatitis, memberikan dia hanya ‘beberapa hari sahaja’ untuk hidup.

Dia mengenang kembali keresahannya.

“Anda menyedari bahawa anda sedang menunggu mati. Dan saya terfikir, organ apakah yang akan mereka temui di tengah-tengah kemelut pandemik COVID-19?” kata wanita berusia 51 tahun itu kepada AFP, suaranya semakin tidak jelas semasa dia menceritakan kisah tersebut.

Tetapi dengan ‘keajaiban’, mereka memanggilnya beberapa hari kemudian untuk menerima organ hati baharu dan lima hari kemudian, dia kembali pulang ke rumah, merasa bersyukur untuk dapat terus hidup.

Semasa dalam perjalanan, pakar bedah berusia 28 tahun, Juan Esteban de Villarreal tidak mengetahui sekiranya pengekstrakan jantung yang bakal dilakukannya akan berjaya.

Di hospital Puerta de Hierro di Majadahonda, luar Madrid, seorang pesakit menaruh harapan, dengan gelisah menunggu penderma yang mampu mengubah kehidupannya.

Satu pertiga organ dihantar menggunakan penerbangan komersial, yang dibawa tanpa dikenakan sebarang bayaran, tetapi mereka tidak dapat menunggu akan menghantarnya menggunakan pesawat peribadi.

Sejurus mendarat, pasukan kesihatan segera menaiki sebuah ambulans, bergegas ke hospital di mana penerima terbaring di atas meja pembedahan, mesin sentiasa berbunyi.

Sebaik menghampiri penerima, yang dadanya sudah dibelah, Esteban de Villarreal dengan berhati-hati memindahkan jantung yang masih berdenyut.

Selepas beberapa minit, dia berhenti dan terus membuat panggilan.

“Saya boleh katakan ya, ia berhasil,” katanya, memberi lampu hijau terhadap pemindahan tersebut.

Sebaik sahaja dipindahkan, jantung tersebut diletakkan ke dalam bekas plastik dipenuhi dengan serum dan ditaruh di dalam beg yang ditutup kemas.

“Udara sangat tidak baik untuk jantung (yang terdedah),” jelasnya ketika organ berharga itu diletakkan ke dalam bekas yang sejuk dan dihantar pulang menaiki pesawat bersama pasukan perubatan, yang kembali semula menuju Madrid.

Selepas mendarat, ambulans mengejarkan mereka ke hospital di Majadahonda dan setelah bersalin pakaian, pakar bedah menuju ke bilik pembedahan di mana dada seorang pesakit sudah dibedah.

Semasa pembedahan itu, dia mengeluarkan organ yang sudah rosak, menggantikannya dengan yang baharu.

Dalam tempoh beberapa jam, tiub dialihkan dan jantung kembali berdenyut di dalam diri seorang pemilik baharu. – AFP