Saturday, May 10, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    COVID-19: Rusia catat lebih 100,000 kes

    MOSCOW, 30 APRIL – Rusia kini sudah melepasi 100,000 kes positif jangkitan COVID-19 dengan pertambahan 7,099 kes baharu dalam tempoh 24 jam.

    Negara itu kini mencatatkan 106,498 kes selain 1,073 kematian akibat virus terbabit, sekali gus mengatasi Iran dan China serta menjadi negara kelapan tertinggi di dunia, lapor laman sesawang maklumat harian kerajaan berhubung COVID-19. Berikutan angka yang kian meningkat dengan ribuan kes setiap hari, Presiden Rusia, Vladimir Putin, memberi amaran keadaan minggu ini akan bertambah sukar.

    Katanya, Rusia berjaya memperlahankan penularan, namun tidak mengambil langkah berjaga-jaga sepenuhnya kerana tidak menjangka keadaan akan menjadi serius.

    Selain itu, pakar perubatan juga memaklumkan mereka kekurangan peralatan perlindungan diri dan kit ujian selain kakitangan hospital menyuarakan kebimbangan turut tersenarai dalam kalangan korban virus itu.

    Sehubungan itu, Rusia minggu ini melanjutkan tempoh ‘tidak bekerja’ hingga 11 Mei depan dengan membenarkan penduduknya berada di rumah dan menerima gaji, dalam usaha mengekang penyebaran virus itu.

    Bagaimanapun, langkah itu membawa ketidakpastian ekonomi dan pemilik perniagaan berdepan kesukaran membayar gaji penuh kepada pekerja berikutan operasi perniagaan mereka tidak berjalan seperti biasa. – AFP

    Pekerja perubatan memakai peralatan perlindungan membawa seorang lelaki atas pengusung, disyaki dijangkiti koronavirus, di sebuah hospital di Kommunarka, Moscow, Rusia. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda