Saturday, May 10, 2025
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    COVID-19: Satu sembuh, satu masih kritikal

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MEI – Negara Brunei Darussalam, hari ini, mencatatkan sifar jangkitan baharu COVID-19 dan jumlah keseluruhan kes di Negara Brunei Darussalam kekal pada 141 orang.

    Pada masa yang sama, satu kes sembuh daripada COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan yang telah sembuh seramai 138 orang.

    Perkara itu dijelaskan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Menurutnya lagi, hanya satu kes saja yang masih dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan di mana kes itu masih dalam keadaan kritikal serta masih memerlukan bantuan mesin tambahan heart/lung machine (ECMO) dan mesin pernafasan.

    Yang Berhormat Dato turut memaklumkan bahawa seperti yang dimaklumkan sebelum ini, seramai 2,679 orang kontak kes telah menamatkan tempoh kuarantin menurut Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204 dan tidak ada sesiapa yang sedang menjalani kuarantin pada masa ini.

    Walau bagaimanapun, jelas Yang Berhormat Dato, terdapat seramai 140 orang sedang menjalani pengasingan diri mandatori di pusat-pusat pemantauan yang disediakan oleh kerajaan iaitu mereka yang baru tiba ke negara ini setelah melakukan perjalanan dari luar negara dan setakat ini, seramai 2,239 orang telah menamatkan pengasingan diri mandatori di kemudahan-kemudahan berkenaan.

    Manakala itu, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 59 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 18,707 ujian. Bagi orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut dan perkembangan terkini, mereka boleh melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan, www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi BruHealth atau healthinfo.gov.bn.

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda