Oleh Salawati Haji Yahya
Perutusan khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersabit dengan munculnya secara tiba-tiba jangkitan tempatan COVID-19, pada 7 Ogos yang lalu mempunyai makna yang tersendiri selaku keprihatinan raja terhadap situasi mengejutkan ini dan yang tentunya merisaukan kita semua.
Jelas Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, semasa memberi respon bersabit ‘Perutusan Raja’ mengenai jangkitan baharu COVID-19, yang disiarkan di Radio dan Televisyen Brunei.
Menurut Yang Berhormat Mufti, pendekatan Baginda ini dapat mententeramkan jiwa dan menyejukkan hati dan itulah berkat namanya.
Secara kebetulan, jelasnya, musibah ini muncul semasa menyambut tahun baru Hijrah 1443 yang pada lazimnya, setiap menjelang tahun baru, digalakkan untuk memuhasabah diri dalam makna elok untuk menyemak balik, siapa diri kita ini dan apa yang sudah kita buat atau alami pada sepanjang tahun yang lalu.
Menurutnya untuk menjawab ‘siapa kita’ memadai dengan berkata: “Saya adalah seorang Muslim” dan dalilnya, Allah Maha Mengetahui, pada setiap hari kita wajib mengungkap: Syahadah (Saya naik saksi, tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, dan saya naik saksi bahawa Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah).

“Ini, ungkapan keramat yang menempatkan kita pada kedudukan tertinggi selaku seorang Muslim,” tegasnya.
Kemudian, apa yang sudah kita buat? Paling asasi yang wajib dibuat, jelasnya ialah menyembah Allah, malah ini bukan kerja setahun dua tapi adalah kerja seumur hidup dan ini adalah putus daripada Allah dan kita tidak boleh lari daripadanya.
Sebagaimana titah perutusan khas Baginda Sultan telah menyebut negara kita lebih setahun menikmati keadaan selamat daripada jangkitan tempatan.
“Ini tidak syak lagi adalah satu nikmat dan setiap nikmat itu wajib disyukuri, kerana nikmat bukan kita yang mencipta tapi adalah langsung datangnya daripada Allah sendiri, Allahlah pencipta dan pengurnia nikmat itu,” tegasnya.
Yang Berhormat Pehin seterusnya menegaskan, syaitan tidak suka kita bersyukur, syaitan sentiasa mencari-cari jalan untuk memalingkan kita daripada bersyukur dan melakukan kufur nikmat.
Sekarang, sekali lagi kita tewas di mana syaitan dilihat sudah ada modal dan ada alasan kuat untuk memesongkan akidah, apabila setelah lebih setahun COVID-19 menyepi di negara kita.
“Tiba-tiba ia muncul dengan mendadak menjangkiti warga tempatan, pada 7 Ogos lalu, yang membabitkan seramai tujuh orang dan terus meningkat pada hari-hari berikutnya”, jelasnya.
Ini sudah tentu akan membuka peluang keemasan bagi syaitan untuk melontarkan bisikan-bisikan jahatnya kepada kita. Syaitan akan terus berbisik untuk merobohkan pegangan kita dan akan menjadikan ‘jangkitan tempatan’ yang tiba-tiba berlaku di negara ini setelah lebih setahun kita bersih, sebagai modal untuk memperli kita, untuk menempelak bahawa penggunaan ‘Vaksin Ketuhanan’ adalah kononnya sia-sia, tidak berkesan: dzikir, doa dan Al-Quran tidak mampu untuk mengekang COVID-19.
“Jika kita termakan bisikan seperti ini, syaitan akan bersorak kerana berjaya memesongkan akidah dan berjaya membawa orang-orang Brunei berpaling daripada dzikir, daripada doa dan daripada Al-Quran,” jelasnya.
Sebagai langkah berhati-hati untuk jangan terjebak kepada perangkap syaitan laknatullah ‘alaih, tegas Yang Berhormat Pehin, mustahak memuhasabah kejadian ini secara ilmu (keilmuan) dengan merujuk kepada kitab Allah, Al-Quran dan Al-Sunnah sebagai panduan dan sandaran.
Al-Quran dan Al-Sunnah memberitahu, bahawa setiap bala itu berpunca daripada dosa, dari tangan-tangan manusia sendiri.
“Soalnya, mahukah manusia berhenti daripada melakukam dosa? Tertakluk kepada sejauh mana keinsafan atau kesedaran datang menjelma. Tetapi keinsafan atau kesedaran itu akan ditentukan pula oleh sejauh mana ‘perasaan takut’ kita terhadap Maha Pencipta – Allah, yang diyakini menurunkan bala bencana itu. Kalau perasaan takut ini tidak ada, mustahil untuk seseorang akan mahu berundur daripada dosa.
Di sinilah berbangkitnya persoalan ‘akidah’ dan selaku umat yang berakidah (umat Islam), kita adalah sepenuhnya percaya kepada kuasa Allah.
“Percaya tiada turun satu-satu bala itu melainkan adalah kerana dosa dan tiada ia (bala itu) berundur, kecuali hanya dengan taubat (minta ampun kepada Allah)”, tegasnya.
“Inilah yang kita dengar dalam perutusan khas raja kita pada malam Rabu 17 Ogos lalu. Baginda menyebut satu perkara hak lagi betul. Bahawa bala adalah bersumber daripada dosa, dan tiada ia (bala) itu berundur, kecuali dengan Istighfar dan taubah sahaja,” katanya.
Kita umat berakidah, menurut Yang Berhormat Pehin bukan takut kepada makhluk, termasuk makhluk virus pandemik, tapi yang kita mesti takut jika Allah menjadikan virus pandemik itu sebagai tenteraNya untuk mengajar kita yang berdosa.
Kerana itu, tegasnya wajib ada ikhtiar kita selaku umat berakidah, ikhtiar kita yang utama ialah mendatangi dan mendekati Allah, bukan lari daripada Allah. Mendekati di sini, bererti mentaatiNya, kita mengaku berdosa, minta ampun kepadaNya dengan banyak-banyak beristighfar dan bertaubat.
Yang Berhormat Pehin berkata, selain menggunakan makhluk-makhluk angin, air, batu dan suara membelah bumi, untuk menghukum umat-umat yang derhaka, Allah juga menggunakan makhluk-makhluk haiwan seperti belalang, kutu, katak dan burung untuk mengajar umat-umat yang dimurkaiNya.
“Kalau makhluk-makhluk angin, batu dan suara dan makhluk-makhluk belalang, kutu, katak dan burung telah dijadikan oleh Allah sebagai tentera-Nya, mengapa bakteria dan virus tidak? Padahal bakteria dan virus juga adalah sama-sama makhluk Allah, sama-sama di bawah kuasaNya”, jelasnya.
“Jika sudah demikian keadaan, maka tidak syak lagi, virus COVID-19 yang sedang mengkucar-kacirkan kini adalah ia tentera utusan Allah, seperti juga belalang, kutu, katak dan burung yang diceritakan oleh Al-Quran, bahkan tentera virus ini lebih-lebih lagi sukarnya bagi kita menghadapinya, berbanding belalang, kutu, katak dan burung, kerana virus tidak nampak oleh mata kasar,” jelas Yang Berhormat Pehin.
Katanya, selama lebih setahun virus ini menyepi daripada kita, tetapi dengan tiba-tiba sahaja tanpa disangka, ia muncul mendadak tanpa kita menyedarinya. Tanpa kita pasti dari mana, bagaimana dan mengapa ia datang. Hanya Allah jua, selaku yang ampunya tentera itu mengetahuinya.
Menurut Yang Berhormat Pehin, inilah yang perlu kita muhasabah dengan hati nurani kehambaan dengan bercermin kepada berita-berita Al-Quran dan As-Sunnah, bahawa kerana tidak mensyukuri nikmat Allah.
Katanya lagi, “makna tidak mensyukuri nikmat Allah itu ialah apabila kalau seseorang itu beroleh nikmat tetapi nikmat itu tidak dipelihara, atau nikmat yang dijawat tidak menambahkan amal takwa bahkan dibalas dengan amal mungkar.
“Nikmat itu wajib disyukuri, bukan hanya bersyukur pada saat menerima sahaja, tetapi dituntut untuk mensyukurinya secara berterusan, barulah Allah akan mengekalkan nikmat itu dan malah berjanji akan menambahnya lagi”, tegasnya.
Persoalannya sekarang, tegasnya nikmat sudah diterima dan malah sudahpun dinikmati atau sedang dinikmati, tetapi tiba-tiba nikmat itu menghilang, dengan diganti pula oleh bala atau azab.
Maka bersabit ini, tegasnya lagi amat tepat sekali perutusan raja kita bahawa tiada turun bala kecuali kerana dosa, dan tiada ia undur bala itu kecuali dengan Istighfar atau taubat jua.
“Lalu, raja pun menyarankan supaya: “Jangan malu mengaku berdosa”. Ya, memang benar, kita makhluk manusia ini tidak sunyi daripada melakukan dosa.
“Baginda menambah: Kita tidak tahu, berapa dosa kita yang dibuat secara sedar atau tidak sedar, dan semua itu pembasuhnya cuma satu sahaja, iaitu Istighfar atau taubat,” tambah Yang Berhormat Pehin.
“Lalu Baginda mengajak kita semua untuk tidak berlengah-lengah lagi merafakkan tangan ke langit berdoa, memohon keampunan Allah, sekiranya kita ini sudah benar-benar terlanjur mengingkari nikmatNya itu yang berisiko untuk mendatangkan bala. Mari kita aminkan bersama-sama. Kita jadikan ia sebagai doa senegara, istighfar kita istighfar senegara dan taubat kita taubat senegara,” katanya.