Monday, May 12, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    COVID-19 sedarkan semua untuk atasi krisis bersama

    KUALA LUMPUR, 24 JULAI – Pandemik COVID-19 seharusnya mencetuskan kesedaran buat setiap negara di dunia supaya mengetepikan perbezaan di antara mereka dan mencari jalan kebersamaan untuk menamatkan pandemik global itu, kata bekas presiden Kepulauan Marshall, Kessai Hessa Note.

    Beliau berkata ia boleh menjadi peluang keemasan negara-negara kaya menyediakan sokongan kewangan dan teknologi mengenai COVID-19 kepada pertubuhan antarabangsa, seperti WHO, yang akan menyelamatkan nyawa manusia pada masa ini dan akan datang.

    “Buat sekali ini, negara-negara di dunia harus mengetepikan perbezaan teologi dan geopolitik dan mencari alasan bersama untuk menyelesaikan pandemik ini.

    “Satu perkara yang pasti adalah dunia tidak akan lagi sama selepas COVID-19. Saya percaya hal ini akan menyedarkan setiap negara di dunia supaya bersama-sama mencari jalan keluar kepada masalah bersama ini,” katanya pada webinar pertama Majlis Sidang Kemuncak Antarabangsa (ISCP) di rantau Asia Pasifik yang bertemakan ‘Membangun Semula dan Memperbaharui Bangsa-bangsa di Dunia pasca COVID-19: Saling Bergantung, Kemakmuran Bersama dan Nilai Sejagat’ yang diadakan baru-baru ini.

    “Walaupun dengan semua teknologi dan perubatan moden zaman ini, telah lapan bulan dan hampir setahun kita masih belum menemui vaksin yang dapat menyembuhkannya.

    “Keadaan ini mempengaruhi setiap aspek kehidupan manusia dan setiap sektor peradaban kita,” katanya.

    Sementara itu, Perdana Menteri Sri Lanka, Mahinda Rajapaksa, berkata apa yang dibimbangi Sri Lanka ialah walaupun tahap ujian yang tinggi di negara itu, ditambah dengan sistem pengawasan

    dan kesihatan yang telah ditubuhkan, masih tidak dapat mengurangkan kes kematian akibat COVID-19.

    Beliau berkata langkah-langkah dan inisiatif yang dilakukan untuk membendung virus itu dari peringkat awal terbukti sangat berkesan dan bermanfaat.

    “Walaupun menyingkirkan pandemik itu masih menjadi keutamaan paling utama, sudah tiba masanya kita mula memikirkan jalan menuju pemulihan pasca-COVID-19.

    “Saya sangat yakin bahawa kita akan dapat mengatasi keadaan sekarang dengan sama-sama menganggapnya sebagai musuh manusia dan menumpukan usaha kita untuk mengalahkannya secara bersepadu dan bersatu,” katanya.

    Sementara itu, bekas Perdana Menteri Kepulauan Solomon, Danny Philip, berkata Kepulauan Solomon adalah salah satu negara di dunia yang belum terjejas oleh pandemik COVID-19.

    Beliau, bagaimanapun, berkata pemerintah tidak akan pernah leka atau memandang remeh akan hal ini.

    “Kerajaan kita melaksanakan langkah-langkah seolah-olah kita sudah dijangkiti virus itu. Kami sangat berharap agar kami dapat mengekalkan status bebas COVID-19 kami selama kami mampu bertahan.

    “Paling penting, kita menginginkan perdamaian dunia yang berterusan, sama ada ketika berhadapan pandemik mahupun pasca pandemik,” katanya. – Bernama

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda