SANDAKAN, 30 SEPT – Sekatan jalan raya (SJR) dilaksanakan bagi kenderaan dari zon merah di Sabah yang hendak memasuki Sandakan mulai hari ini bagi mencegah penularan COVID-19 ke daerah Sandakan, menurut Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) Wong Foo Tin.
“Semua kenderaan dari zon merah (Tawau, Lahad Datu, Semporna dan Kunak) dilarang masuk ke daerah Sandakan sehingga keadaan terkawal.
“Mereka yang membawa barangan keperluan (essential goods) dikehendaki menjalani ujian swab di pintu masuk daerah Sandakan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Wong, SJR itu dilaksanakan di Batu 32, Ulu Dusun iaitu pintu masuk ke Sandakan.
Katanya, sekatan dikendalikan oleh Polis Diraja Malaysia dan Pejabat Kesihatan Kawasan Sandakan selama 24 jam setiap hari.
Sehingga semalam, Sabah mencatatkan kes COVID-19 baharu tertinggi dengan dua kluster baharu dikenal pasti iaitu Jalan Bomba dan Jalan Utara, kedua-duanya di Sandakan. – Bernama