COVID-19: Sembilan doktor maut di Filipina

MANILA, 26 MAC – Sembilan doktor telah meninggal dunia di Filipina akibat koronavirus, kata persatuan perubatan terkenal negara hari ini, tatkala hospital dibebani dan kumpulan perubatan mengadu mengenai kekurangan perlindungan di barisan depan.

Pengumuman kematian doktor menambah kebimbangan bahawa skala krisis kesihatan di Filipina adalah jauh lebih teruk daripada dilaporkan secara rasmi, dengan jumlah kematian virus mencecah 38 orang.

Pulau utama Luzon, tempat tinggal kepada 55 juta penduduk, telah memasuki minggu kedua perintah berkurung untuk membendung penyebaran penyakit itu, bagaimanapun pakar perubatan mengingatkan terdapatnya pertambahan dalam kes.

Persatuan Perubatan Filipina berkata hari ini doktor kesembilan telah meninggal dunia akibat virus tersebut, dan pekerja kesihatan tidak menerima perlindungan yang cukup.

“Jika ia adalah saya, uji pekerja barisan depan terlebih dahulu dan uji mereka sekali lagi selepas tujuh hari. Doktor sendiri boleh menjadi pembawa, virus,” beritahu Benito Atienza, naib presiden Persatuan Perubatan Filipina kepada AFP.

Tiga hospital besar di Manila mengumumkan semalam me-reka telah mencecah kapasiti penuh dan tidak dapat menerima kes koronavirus baharu.

Ratusan kakitangan perubatan tidak lagi menerima pesakit disebabkan mereka sedang menjalani kuarantin sendiri selepas disyaki terdedah, kata hospital.

Hanya 2,000 orang telah diuji di Filipina pada Selasa daripada mereka yang mengalami gejala serius dan mereka yang dianggap paling mudah terdedah kepada COVID-19, seperti warga emas, mereka dengan penyakit kronik dan wanita mengandung. – AFP