COVID-19: Singapura peruntukkan AS$4.6B

SINGAPURA, 18 FEB – Singapura hari ini mendedahkan pakej rangsangan kewangan berjumlah AS$4.6 bilion bagi menangani impak wabak koronavirus maut, yang menjejaskan ekonomi negara itu dan membangkitkan kebimbangan kemelesetan.

Hab kewangan itu melaporkan 77 kes virus, salah satu daripada jumlah tertinggi di luar tanah besar China, di mana patogen itu sudah membunuh dan menjangkiti berpuluh-puluh ribu orang.

Pelancongan dan perdagangan dijangka paling teruk terjejas oleh virus itu di Singapura, sebuah negara ekonomi terbuka yang mempunyai hubungan rapat dengan China, dan pastinya menerima impak teruk bagi sebarang kejutan global.

Menteri Kewangan, Heng Swee Keat mengumumkan pakej rangsangan kewangan berjumlah Sg$6.4 bilion (AS$4.6 bilion) sebagai sebahagian daripada bajet tahunan dan memberi amaran bahawa impak penuh wabak itu belum lagi dirasakan.

“Tempoh dan tahap teruk wabak ini serta impak ke atas ekonomi global masih tidak jelas,” katanya. “Kita mesti bersedia…impak ekonomi mungkin lebih teruk daripada yang kita jangkakan.”

Daripada bajet tersebut, Sg$5.6 bilion diperuntukan untuk membantu syarikat dan keluarga mengatasi kelembapan ekonomi mendatang, dengan sebahagian besar diberikan kepada firma-firma dalam sektor yang paling teruk terjejas, termasuklah penerbangan, pelancongan dan runcit.

Terdapat juga wang untuk membantu keluarga yang diberikan dalam bentuk pembayaran tunai dan baucar runcit bagi mereka yang memerlukan. Manakala tambahan Sg$800 juta juga diperuntukkan untuk usaha membasmi virus, kebanyakannya untuk kementerian kesihatan.

Pakej rangsangan itu akan mengakibatkan defisit bajet keseluruhan sebanyak Sg$10.9 bilion, kata Heng, namun menambah bahawa kerajaan mempunyai lebihan wang mencukupi untuk membiayainya. –AFP

Barisan kerusi kosong (kiri) kelihatan dalam pesawat Singapore Airlines ke Singapura dari Lapangan Terbang Antarabangsa Jakarta, sebelum pesawat itu berlepas, 18 Feb. Singapura hari ini mendedahkan pakej rangsangan ekonomi bagi memerangi koronavirus yang menjejaskan ekonomi negara itu. –AFP