NEW DELHI, 28 APRIL – Suasana Ramadan di India kali ini amat berbeza sekali tanpa bazar, tiada majlis berbuka puasa bahkan tiada solat berjemaah dan tarawih di masjid, berikutan wabak COVID-19 yang melanda kebanyakan negara di dunia.
Masjid Jama yang wujud sejak abad ke-17, terletak di Chandni Chowk, New Delhi, popular dalam kalangan masyarakat Muslim di India, kebiasaannya dipenuhi ribuan jemaah, kini lengang.
Perkarangan masjid yang luas, mampu menampung 25,000 jemaah, sebelum ini dipenuhi orang ramai bersama keluarga masing-masing berbuka puasa dengan juadah yang dibawa dari rumah.
Kedai-kedai berdekatan pula dipenuhi dengan pelbagai barangan jualan di samping tuan kedai sibuk melayan pelanggan.
“Kami rindu semua itu. Ramadan sangat istimewa bagi kami di daerah ini tetapi berkumpul beramai-ramai tidak dibenarkan,” kata setiausaha agung pertubuhan Majlis-e-Amal Muslim, Syed Tariq Bukhari.
“Kami berdoa dunia akan bebas daripada wabak ini. Kami juga mendoakan kesejahteraan semua orang. Kami harus patuhi peraturan yang ditetapkan kerajaan untuk melawan koronavirus,” katanya kepada Bernama.

Sama dengan masjid-masjid yang lain, solat hanya dilakukan oleh imam, muazin dan kakitangan masjid.
India mengumumkan sekatan pergerakan di seluruh negara selama tiga minggu bermula 25 Mac, kemudian dilanjutkan hingga 3 Mei.
Namun, amalan bersedekah dan membantu golongan yang memerlukan terutamanya mereka yang terjejas akibat sekatan pergerakan, tetap berjalan seperti biasa.
“Menjadi tanggungjawab kita untuk membantu mereka yang susah tanpa mengira kepercayaan atau komuniti,” kata sukarelawan Maskoor Ahmad yang juga bekas presiden persatuan pelajar Aligarh Muslim University (AMU).
Menjalani ibadah puasa di tengah-tengah penularan COVID-19 turut menguji kesabaran dan mendidik supaya mampu menyesuaikan diri dalam persekitaran kehidupan yang luar daripada kebiasaan, kata profesor di AMU, Saud Alam Qasmi. – Bernama