COVID-19 tekankan kepentingan inovasi, kreativiti masyarakat

Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OGOS – Penularan pandemik COVID-19 telah memberikan pengajaran kepada kita di mana inovasi dan kreativiti masyarakat khususnya daya tahan dan adaptasi kepada keadaan semasa adalah amat penting.

Dalam hubungan itu, teknologi memainkan peranan penting dalam mengekalkan dinamik masyarakat termasuk penjanaan pelbagai platform bagi menyokong penjualan dalam talian serta bagaimana pihak kerajaan berubah dalam penggunaan teknologi bagi mengendalikan aktiviti kerja harian.

Oleh itu, Anugerah CIPTA Duli Pengiran Muda Mahkota 2021 menumpukan kepada inovasi teknologi pelbagai dimensi bagi memenuhi keperluan masyarakat global iaitu sebuah masyarakat yang makmur dari segi sosial, ekonomi dan kelestarian alam sekitar.

Perkara itu dinyatakan oleh Naib Canselor Universiti Teknologi Brunei (UTB), Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman selaku pengerusi Jawatan-kuasa Eksekutif CIPTA 2021 dalam kata alu-aluannya pada Pelancaran Anugerah CIPTA Duli Pengiran Muda Mahkota 2021 yang berlangsung di Dewan Indera Kayangan, The Empire Brunei, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan pelancaran Anugerah CIPTA 2021 ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman.

Yang Berhormat Menteri Pendidikan ketika melancarkan Anugerah CIPTA Duli Pengiran Muda Mahkota 2021 di Dewan Indera Kayangan, The Empire Brunei, kelmarin.
Antara jemputan yang hadir pada Majlis Pelancaran Anugerah CIPTA Duli Pengiran Muda Mahkota 2021.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh, setiasaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap di Kementerian Pendidikan, Pengurus Kewangan Brunei LNG Sdn Bhd dan Pengerusi Jawatankuasa Tajaan Brunei LNG, Pengiran Mas Norhazilinah binti Pengiran Momin yang mewakili pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif Brunei LNG serta para jemputan khas.

Profesor Dr Hajah Zohrah dalam kata alu-aluannya lagi menyatakan bahawa sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi di Negara Brunei Darussalam, UTB mengambil maklum akan tanggungjawabnya sebagai contoh kepada sistem pendidikan di Brunei.

Dalam hubungan itu, UTB bercita-cita untuk menjadi mantap kepada keperluan semasa masyarakat.

Beliau menyatakan lagi bahawa CIPTA merupakan medium bagi UTB dengan kerjasama Brunei LNG untuk mendekati orang ramai dan pelajar serta menyediakan sebuah laluan bagi mereka untuk menonjolkan inovasi dan kreativiti mereka.

Sejak 2015, pertandingan CIPTA telah dilanjutkan ke negara-negara anggota ASEAN di mana Anugerah CIPTA Duli Pengiran Muda Mahkota 2021 mengalu-alukan peserta daripada ASEAN untuk menonjolkan inovasi serta ciptaan mereka.

Anugerah itu menyediakan platform bagi mempromosikan kepintaran bukan sahaja dalam kalangan warga Brunei tetapi juga mereka di rantau ASEAN, jelas Profesor Dr Hajah Zohrah lagi.

Majlis diteruskan dengan pelancaran Anugerah CIPTA Duli Pengiran Muda Mahkota 2021 oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah.

Pertandingan itu mempunyai tiga kategori utama iaitu Kategori Tempatan, Pertandingan Smart Junior dan Kategori ASEAN di mana bagi Kategori Tempatan ia dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Kategori 1: Menghasilkan Produk, Proses atau Teknologi Baharu; Kategori 2: Mengubah Suai Produk, Proses atau Teknologi Sedia Ada dan Kategori 3: Menghasilkan atau Mengubah Suai Produk, Proses atau Teknologi Baharu atau Sedia Ada oleh Pencipta Muda.

Pertandingan Smart Junior pula dibukakan kepada pelajar-pelajar menengah rendah iaitu pelajar Tahun 7 hingga 9, manakala itu, Kategori ASEAN dibahagikan kepada dua kategori iaitu Kategori Ciptaan dan Inovasi Baharu, dan Kategori Pencipta Muda.

Bagi anugerah tahun ini, yuran pendaftaran bagi Kategori Ciptaan dan Inovasi Baharu telah dikemaskinikan untuk mengalu-alukan lebih banyak penyertaan daripada ASEAN. Di samping itu, disebabkan keadaan pandemik pada masa ini, kategori-kategori ASEAN akan dihakimi keseluruhannya secara dalam talian untuk menjaga kebajikan semua yang terlibat.

Semua dokumen relevan dapat diperoleh menerusi laman sesawang www.utb.edu.bn/cipta/ dan pendaftaran akan dibukakan pada 2 November 2020 hingga 1 Februari 2021.