Tuesday, March 25, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    COVID-19: tidak perlu henti solat jumaat

    PUTRAJAYA, 12 MAC – Situasi semasa penularan virus COVID-19 yang masih terkawal di negara ini tidak memerlukan solat Jumaat dihentikan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

    Beliau berkata solat yang diwajibkan kepada lelaki Muslim itu hendaklah diteruskan dengan beberapa perubahan dilakukan, antaranya memendekkan khutbah Jumaat.

    “Selain itu, orang ramai juga digalakkan untuk mengambil air sembahyang di rumah manakala pengurusan masjid dan jemaah hendaklah menyediakan ‘hand sanitizer’ (cecair pembasmi kuman) dan penutup hidung dan mulut sebagai langkah pencegahan.

    “Mereka yang ada simptom COVID-19 bagaimanapun tidak perlu hadir solat Jumaat kerana termasuk dalam golongan orang yang sakit,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan amanat kepada agensi agama di bawah JPM di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini hari ini.

    Hadir sama timbalannya Ahmad Marzuk Shaary.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri bersama timbalannya Ahmad Marzuk Shaary (dua, kiri) semasa majlis Tausiyah ‘Am Agensi Agama di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini. – Bernama

    Zulkifli berkata solat Jumaat hanya tidak boleh dilakukan tetapi diganti dengan solat Zohor dalam keadaan wabak itu menjadi umum dan merebak secara tidak terkawal.

    Bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu berkata hal itu hanya boleh dilakukan selepas memenuhi beberapa syarat iaitu larangan berkenaan status wabak dikeluarkan oleh pihak berautoriti seperti Kementerian Kesihatan.

    “Ia juga tertakluk kepada wabak itu sudah menunjukkan kesannya di tempat tersebut dan ramai individu yang telah disahkan positif COVID-19 dengan Kementerian Kesihatan telah menyemak dan memeriksa masjid atau surau Jumaat terlebih dahulu,” katanya.

    Zulkifli berkata bagi mengelak kekeliruan, pihaknya akan mengeluarkan garis panduan mengenai hal itu dalam masa terdekat.

    Dalam pada itu, beliau turut meminta peserta yang menghadiri Ijtimak Tabligh di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur pada 27 Feb lepas supaya segera menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah.

    Dalam satu kenyataan di sini hari ini, Zulkifli berkata ia seiring dengan saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membendung penularan jangkitan COVID-19.

    Mereka yang berkenaan diminta menghubungi Pusat Kesiapsiagaan dan Respon Krisis (CPRC) Kebangsaan KKM atau Pejabat Kesihatan Daerah, katanya.

    Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata seorang warga tempatan berusia 60 tahun disahkan positif COVID-19 selepas menghadiri perhimpunan itu yang berlangsung pada 28 Feb hingga 1 Mac lepas.  – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda