COVID-19: Tiga kluster aktif di Labuan

LABUAN, 25 NOV – Dua daripada tiga kluster aktif COVID-19 di Labuan didapati merebak lebih cepat dan menyebabkan lebih banyak jangkitan, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari.

Beliau berkata dua kluster itu ialah kluster Bukit Kuda dan Jalan Jati yang masing-masing dikesan pada 18 dan 21 Nov lepas.

Dr Ismuni berkata kluster Bukit Kuda muncul berikutan sebuah keluarga di sini mengadakan majlis pertunangan yang dihadiri saudara-mara dari tanah besar.

“Kluster itu merebak dengan meluas kepada mereka yang hadir ke majlis itu…dan kami masih mengesan kontak rapat untuk saringan, usaha juga dibuat untuk memutuskan rantaian jangkitan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata kluster Jalan Jati pula melibatkan sebuah bistro di pusat bandar Jalan Jati dengan beberapa pelanggan dipercayai menyebabkan penularan jangkitan. – Bernama