COVID-19: Varian baharu mungkin muncul tahun ini

PARIS, 23 JULAI – Penasihat tertinggi kerajaan Perancis mengenai COVID-19 memberi amaran hari ini bahawa varian baharu penyakit itu ‘mungkin’ muncul dalam bulan-bulan musim sejuk tahun ini.

Negara itu sedang bergelut dengan peningkatan kes baharu berpunca daripada varian Delta yang lebih mudah berjangkit, yang pertama dicatat di India.

“Kami mungkin mempunyai satu lagi varian baharu yang muncul dalam bulan-bulan musim sejuk,” beritahu Jean-Francois Delfraissy, ketua majlis saintifik kerajaan Perancis, kepada saluran berita BFM.

Beliau berkata beliau tidak dapat meramalkan kesannya, atau sama ada ia lebih berbahaya, menambah COVID-19 mempunyai keupayaan yang ‘agak terhad’ untuk mutasi. Pakar penyakit berjangkit itu menggesa rakyat Perancis supaya kembali mengamalkan penjarakan fizikal dan memakai penutup mulut dan hidung, berkata ‘pengembalian kepada keadaan normal’ mungkin berlaku pada 2022 atau 2023.

“Cabaran besar yang timbul dalam beberapa tahun akan datang adalah bagaimana kita hidup bersama, dengan dua dunia: negara yang sudah divaksin dan negara yang belum divaksin,” kata beliau.

Strategi kerajaan untuk membendung gelombang keempat adalah berdasarkan pada pengenalan sistem ‘pas kesihatan’ yang mewajibkan orang menunjukkan bukti vaksinasi atau ujian negatif apabila memasuki tempat awam. Sejak Rabu, pawagam, muzium, kolam renang dan tempat sukan telah mewajibkan pemilik menunjukkan sijil kesihatan mereka, mencetuskan kritikan daripada sesetengah pihak mengatakan ia membatas kebebasan golongan yang belum menerima vaksin.

Ahli parlimen meluluskan draf undang-undang hari ini yang akan melanjutkan sistem itu kepada kafe dan restoran mulai bulan depan, dan menjadikan vaksinasi mandatori untuk pekerja kesihatan mulai September. – AFP

Seorang budak lelaki menunjukkan pas kesihatannya ketika dia tiba di sebuah restoran di Mont-Saint-Michel di Normandy, barat daya Perancis. Penasihat kerajaan Perancis mengenai COVID-19 memberi amaran bahawa varian baharu penyakit ‘mungkin’ timbul pada musim sejuk tahun ini. – AFP