NEW DELHI, 22 DIS – India mula melakukan ujian rawak COVID terhadap pelancong antarabangsa yang tiba di lapangan terbang di negara itu, kata menteri kesihatan negara itu hari ini, memetik pertambahan jumlah kes di negara jiran China.
Mansukh Mandaviya mengumumkan peraturan baharu itu di Parlimen, di mana beliau turut menggesa kerajaan negeri meningkatkan pengawasan bagi varian koronavirus baharu dan menghantar semua sampel kes positif ke makmal.
Mandaviya juga meminta orang ramai memakai pelitup muka dan mengekalkan penjarakan sosial, walaupun tiada mandat rasmi bagi kedua-duanya.
India melonggarkan peraturan pemakaian pelitup muka awal tahun ini selepas kes COVID mula menurun dengan mendadak.
Ia mencatatkan kes COVID paling banyak di dunia sejak bermulanya wabak itu, namun jangkitan disahkan menurun secara mendadak sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Menurut data Kementerian Kesihatan India, negara itu mempunyai kira-kira 3,400 kes koronavirus aktif.
Kes-kes telah meningkat di negara jiran China sejak ia melonggarkan sekatan ketatnya awal bulan ini susulan protes awam.
Mandaviya berkata, kerajaan India masih belum bercadang untuk menghentikan penerbangan dari negara di mana kes baharu dilaporkan.
Peningkatan kes di China juga mendorong pakar kesihatan India mengeluarkan nasihat supaya orang ramai memakai pelitup muka dan menerima dos penggalak.
Hari ini, Persatuan Perubatan India turut menggesa orang ramai untuk memakai pelitup muka di semua tempat awam dan mendapatkan vaksin penggalak.
Ia juga menyeru orang ramai untuk mengelak perhimpunan awam seperti perkahwinan, mesyuarat politik dan sosial dan perjalanan antarabangsa.
“Setakat ini, situasi tidak membimbangkan dan oleh itu tidak perlu panik. Mencegah lebih baik daripada mengubati,” katanya dalam satu kenyataan.
India yang mempunyai hampir 1.4 bilion orang, memberikan lebih 2.2 bilion dos vaksin COVID, namun hanya 27 peratus penduduknya menerima dos penggalak ketiga. – AP

