COVID: Raya yang suram bagi dua remaja kehilangan ibu bapa

KUALA LUMPUR, 4 MEI – Sambutan Hari Raya tahun ini memancarkan sinar gembira tidak terhingga kepada orang ramai yang menyambutnya, kerana kini mereka dapat pulang ke kampung halaman bertemu orang yang dirindui.

Sejak dua tahun lepas, suasana suram sambutan perayaan memang tidak dinafikan susulan pelaksanaan sekatan, dan kini apabila negara memasuki Fasa Peralihan ke Endemik, tiada lagi sekatan, inilah peluang untuk bersiar-siar, melancong, melawat sanak saudara, membeli belah, dan macam-macam lagi.

Bagaimanapun Aidilfitri kali ini tidak menampakkan sebarang sinar bahagia bagi dua remaja yang terpaksa memikul beban menguruskan keluarga masing-masing, apabila kedua-dua ibu bapa meninggal dunia hujung tahun lepas akibat COVID.

Bagi Nur Adriana Aleeya,17, dari Perak yang kehilangan ibu bapa, Zulkifli Mohd Yusof, 38, dan Nor Azira Mohamed, 40, September lepas, hari raya tahun ini benar-benar berbeza bagi beliau dan adik-adiknya Muhammad Zafrul Aiman, 12, dan Muhammad Umar Mikail, 8.

Nur Adriana Aleeya berkata mereka adik beradik masih tidak dapat menahan kepiluan mengenang kehilangan ibu bapa mereka akibat komplikasi COVID-19, yang jelas mengajar mereka erti kehidupan dan betapa pentingnya menyayangi ibu bapa semasa hayat mereka.

“Pandemik telah meragut nyawa ibu bapa kami, kini tanggungjawab saya adalah untuk menjaga dua adik saya yang masih terlalu muda ini. Saya amat berterima kasih terhadap datuk dan nenek serta saudara mara yang banyak membantu, agar kami dapat meneruskan pengajian.

“Memang kesedihan tidak dapat digambarkan, ini kali pertama kali berhari raya tanpa kedua-dua ibu bapa, namun dengan sokongan ramai, Insya-Allah kami akan peroleh kekuatan yang diperlukan untuk menempuh hari-hari yang mencabar ini,” kata pelajar tingkatan lima Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Gerik itu.

Sementara itu pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) berumur 24 tahun, Amirul Rashidi Musa dari Negeri Sembilan yang kini bekerja sebagai rider penghantar makanan, beliau juga adalah seorang lagi anak muda yang terpaksa mengharungi Hari Raya ini buat kali pertama tanpa belaian kasih ibu bapa.

Amirul yang kehilangan ibu bapa pada bulan Disember lepas berkongsi kisah sedih semasa berbuka puasa dengan hanya roti berinti krim, di sebuah restoran Shah Alam baru-baru ini.

“Ketika saya baru nak berbuka, saya terdengar bunyi takbir raya dan orang-orang di dalam kedai makan itu bersorak ‘esok raya’ dan ketika itu air mata saya mula berjurai tidak henti.

“Saya faham ini semua kehendak Tuhan, saya dah terima dengan hati yang terbuka,” katanya.

Amirul berkata beliau dan adiknya Izzat Rashidi, 20, hanya berbelanja ala kadar untuk sambutan hari raya tahun ini, tambahan pula kedua-dua mereka sibuk mencari rezeki.

“Alhamdulilah, saya sempat membeli-belah bersama adik untuk membeli baju Melayu dan beraya bersama ibu saudara kami,” katanya. – Bernama