COVID: Singapura catat satu lagi kematian babitkan seorang kru kapal Ukraine

SINGAPURA, 3 OGOS – Seorang lelaki berusia 34 tahun dari Ukraine meninggal dunia akibat komplikasi jangkitan COVID-19 pada 1 Ogos, menjadikan jumlah korban di Singapura setakat ini 38 orang. 

Kes import 67264 itu melibatkan seorang kru kapal laut yang tiba di Singapura pada 29 Julai, menurut data dikeluarkan Kementerian Kesihatan malam tadi.

Pada 25 Julai lelaki itu dilaporkan demam, batuk dan kelesuan sebelum mengalami sesak nafas pada 31 Julai.

“Dia dibawa ke Hospital Besar Singapura pada 1 Ogos dan disahkan dijangkiti COVID-19 pada hari yang sama,” menurut kementerian. 

Kali terakhir kes kematian dilaporkan di Singapura ialah pada 24 Julai, melibatkan seorang wanita tempatan berusia 83 tahun. – Bernama