PARIS, 11 OGOS – Rayuan Crystal Palace berhubung pemindahan mereka dari Liga Europa ke Liga Konferens UEFA ditolak hari ini oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Kelab dari London itu, yang memenangi Piala FA musim lalu, melanggar peraturan UEFA mengenai pemilikan berbilang kelab.
Badan pengelola bola sepak Eropah itu mendapati bahawa mulai 1 Mac, ahli perniagaan Amerika, John Textor mempunyai kawalan atau pengaruh dalam Crystal Palace dan kelab Perancis, Lyon.
Ini bermakna di bawah peraturan UEFA, kedua-dua kelab tidak dibenarkan bersaing dalam pertandingan Eropah yang sama dan Lyon mengekalkan tempat Liga Europa berdasarkan kedudukan liga yang lebih tinggi.
Palace membuat rayuan ke CAS bulan lalu selepas Textor bersetuju menjual 43 peratus pegangan sahamnya dalam kelab Liga Perdana Inggeris itu kepada pemilik New York Jets, Woody Johnson.
Bagaimanapun, perjanjian itu dibuat selepas tarikh akhir UEFA pada 1 Mac bagi menyelesaikan konflik pemilikan berbilang kelab.
“Selepas meneliti bukti, Panel mendapati John Textor, pengasas Eagle Football Holdings, mempunyai saham dalam CPFC dan OL serta merupakan ahli Lembaga Pengarah yang mempunyai pengaruh menentukan ke atas kedua-dua kelab pada tarikh penilaian UEFA,” kata CAS dalam satu kenyataan.
“Panel berpendapat bahawa Peraturan UEFA adalah jelas dan tidak memberi kelonggaran kepada kelab yang tidak mematuhi pada tarikh penilaian, seperti yang didakwa CPFC.” – AFP










