Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    CPI China pada Ogos menjunam

    BEIJING, 10 SEPT – Indeks Harga Pengguna (CPI) di China jatuh bulan lepas pada kadar terpantas dalam tempoh enam bulan, data rasmi menunjukkan hari ini, ketika para pemimpin bergelut untuk memulihkan semula permintaan dalam ekonomi kedua terbesar dunia itu.

    Beijing dalam beberapa tahun kebelakangan ini telah bergelut dengan perbelanjaan domestik yang lembap, terjejas oleh kemerosotan yang berpanjangan dalam pasaran hartanah negara ketika cabaran yang dialami eksportnya semakin meningkat.

    CPI ukuran utama inflasi turun 0.4 peratus tahun ke tahun pada Ogos, menurut data yang dikeluarkan oleh Biro Perangkaan Kebangsaan (NBS) China.

    Jumlah itu lebih rendah daripada unjuran kejatuhan 0.2 peratus dalam tinjauan ahli ekonomi Bloomberg dan menandakan penurunan paling teruk sejak kejatuhan 0.7 peratus Februari lalu.

    Selepas jumlah itu stabil pada Julai, penurunan kembali ke wilayah negatif ‘mencerminkan harga makanan yang tidak menentu,’ kata pakar ekonomi China di Capital Economics, Zichun Huang.

    “Walaupun inflasi asas sebenarnya telah meningkat sejak kebelakangan ini, ia kebanyakannya mencerminkan faktor sementara dan bukannya sebarang peningkatan bermakna dalam ketidakseimbangan bekalan-permintaan,” tambahnya.

    Ketika ekonomi Barat utama bergelut dengan masalah inflasi, pemimpin China cuba mengatasi harga yang tidak stabil atau jatuh.

    Isu deflasi menjejaskan keyakinan pelabur dan mengancam sasaran pertumbuhan
    rasmi Beijing untuk tahun ini sekitar lima peratus.

    Dalam kenyataan lain hari ini, ahli perangkaan NBS, Dong Lijuan mengaitkan kejatuhan CPI dari tahun ke tahun dengan kesan asas yang tinggi, selain kenaikan harga makanan yang berada di bawah paras bermusim. – AFP

    Gambar menunjukkan lelaki menunggang skuter di daerah pusat perniagaan Beijing pada 8 September. CPI di China jatuh bulan lepas pada kadar terpantas dalam tempoh enam bulan. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda