MADRID, 13 Feb – Cristiano Ronaldo mengakui bahawa musim Real Madrid kini terarah kepada pertembungan Liga Juara-Juara menentang Paris Saint-Germain kerana gergasi Sepanyol itu sudah jauh ketinggalan dalam perebutan kejuaraan La Liga.
“Pertembungan itu mampu menjadi penentu bagi keseluruhan musim,” kata bintang Portugal itu di laman sesawang Real selepas memenangi pemain terbaik dunia musim lepas daripada Goal.com.
“Kami akan berdepan pasukan dan pemain yang hebat, mereka yang kami sangat hormati.
“Tetapi kami sudah menunjukkan bahawa kami adalah pasukan yang kuat, bersatu dan berpengalaman dalam kejohanan itu.”
Real menghoskan PSG di Santiago Bernabeu awal pagi Khamis ini dalam pusingan 16 terakhir pertama, dengan aksi timbal balik pada 7 Mac di ibu negara Perancis.
Skuad Zinedine Zidane telah memenangi Liga Juara-Juara dalam dua musim berturut-turut, dan sudah lapan tahun sejak Real disingkirkan pada peringkat itu.
Madrid ketika ini berada di tangga keempat dalam La Liga, 17 mata di belakang pendahulu Barcelona, meskipun mempunyai kelebihan satu perlawanan. – AFP