Monday, February 17, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    CR7 singgah di Singapura

    SINGAPURA, 21 Julai – Bintang terkemuka bola sepak, Cristiano Ronaldo membuat persinggahan ke Singapura bagi membuat lawatan untuk berjumpa dengan pemilik Valencia, Peter Lim dan keluarganya hari ini, ketika dia dalam penerbangan ke satu acara media di China.

    Berdozen-dozen peminat dan wartawan menyerbu bintang penyerang Real Madrid itu tetapi telah dihalang oleh anggota keselamatan ketika pemain terbaik bola sepak dunia itu membuat satu lawatan ke sebuah hospital swasta untuk melawat anak perempuan Lim, Kim, dan anak damitnya yang baru dilahirkan.

    Di kawasan lobi hospital, anggota keselamatan berbadan tegap telah mengiringi Ronaldo melepasi peminat dan media yang berasak-asak untuk mendapatkan gambar wira mereka, sementara sebahagian mereka yang membawa aksesori atau barangan bagi mendapatkan tandatangan nampak kecewa. Dia kemudian dibawa keluar melalui laluan keluar yang berasingan.

    Ronaldo dijangka menandatangani satu perjanjian pengesahan dan bertemu dengan jutawan Singapura, Lim bagi makan malam selepas itu. Namun tidak ada butiran lanjut mengenai perjanjian itu.

    Lim merupakan pemilik Mint Media yang berpangkalan di Hong Kong, yang mengawal kesemua hak imej Ronaldo, terkecuali yang berkaitan dengan Real Madrid.

    Pemain bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo (tengah) ketika tiba di Hospital Thomson Medical untuk melawat anak perempuan jutawan Singapura, Peter Lim, yang baru sahaja melahirkan anak damit. – AFP
    Pemain bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo (tengah) ketika tiba di Hospital Thomson Medical untuk melawat anak perempuan jutawan Singapura, Peter Lim, yang baru sahaja melahirkan anak damit. – AFP

    Pegawai seranta Lim berkata bahawa Ronaldo dalam perjalanan ke China bagi menghadiri satu acara Mint Media.

    Lim telah membeli kelab yang mengalami krisis kewangan, Valencia pada tahun 2014, memberikan pembiayaan dan membawa masuk pengurusan baru.

    Tetapi kelab Sepanyol itu bergelut untuk menterbalikkan nasibnya, dengan pengurusan Lim mendapat kritikan dari pangkalan penyokong kelab.

    Dia telah membawa masuk enam jurulatih dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini dan pengerusi Valencia dari Singapura, Layhoon Chan telah mengundur diri awal bulan ini. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda