KUALA LUMPUR, 12 JUN – Crest Builder Holdings Bhd menyasarkan untuk membida projek-projek bukan infrastruktur bagi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) seperti stesen depot di Negeri Sembilan dan Pahang Barat.
Syarikat itu menyertai proses kelayakan awal pada Mei, dan keputusan akan diumumkan menjelang akhir tahun, kata Pengarah Urusannya Eric Yong Shang Ming.
“Pembinaan merupakan kekuatan kami. Kini kami memberi tumpuan kepada kekuatan kami iaitu pembangunan hartanah dan pembinaan,” katanya pada mesyuarat agung tahunan syarikat itu di sini hari ini.
Lebih 1,000 syarikat pembinaan dari seluruh negara dilaporkan mengintai 40 peratus bahagian kerja-kerja awam projek ECRL bernilai RM44 bilion susulan proses Pra-Q bagi mengenal pasti subkontraktor berpotensi.
Sejumlah 1,321 permohonan daripada syarikat berdaftar CIDB diterima oleh kontraktor utama ECRL, China Communications Construction Company Ltd (CCCC), semasa proses Pra-Q pada 29 dan 30 Mei 2019.
Sementara itu, Yong berkata syarikat itu positif bahawa pasaran hartanah akan melantun semula pada suku kedua tahun ini.
“Sejak dua tahun lepas, pasaran mengalami aliran menurun, dan pada masa ini kita dapat melihat pasaran kembali meningkat.” – Bernama