Oleh Rafidah Jumat
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 DIS – Awang Muhammad Herman bin Abdullah Sebi berjaya memilih kunci bertah sekali gus menghidupkan kereta Hyundai Creta yang dimenanginya dalam Promosi ‘Menangi Creta’ anjuran Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (Perbadanan TAIB).
Awang Muhammad Herman ketika ditemui melahirkan rasa syukur apabila kunci yang dipilihnya berhasil menghidupkan enjin kereta dan menyatakan bahawa kereta yang dimenangi itu akan diberikannya kepada ibu bapa beliau untuk kegunaan mereka.
Sementara itu, dalam cabutan yang berlangsung di Airport Mall, hari ini. hadiah berupa baucar pakej umrah atau pakej pelancongan bernilai $5,000 pula dimenangi Awang Muhammad Afiif bin Mohd Ali.
Penyampaian hadiah kepada kedua-dua pemenang berkenaan disempurnakan oleh Menteri Pertahanan Kedua yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.
Acara cabutan utama promosi itu turut menyaksikan 10 lagi pemenang pulang dengan hadiah sagu hati berupa baucar peralatan rumah bernilai $1,000 dan lima lagi memenangi gajet elektronik bernilai $800.
Hadiah-hadiah sagu hati berkenaan telah disampaikan oleh Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal) yang juga Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB, Dato Seri Paduka Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.
Promosi itu dibukakan kepada pelanggan baharu dan sedia ada Perbadanan TAIB yang membuat permohonan bagi mana-mana pembiayaan kewangan antara awal Mac hingga penghujung November lalu.
Perbadanan TAIB pada tahun ini menawarkan pelbagai promosi pembiayaan kewangan seperti kadar yang rendah, kos permulaan dan potongan daripada yuran pemprosesan pelanggan.


