MANCHESTER, 7 SEPT — Usaha Cristiano Ronaldo untuk bersaing lagi dalam Piala Dunia untuk kali keenam bermula hebat dengan dua jaringannya ketika Portugal mula kempen kelayakan dengan tumbangkan Armenia 5-0.
Gol Ronaldo melebarkan rekodnya sebagai penjaring terbanyak dalam bola sepak antarabangsa kepada 140 dan menyerlahkan motivasi yang berterusan untuk terus beraksi sebelum kariernya berakhir.
Pemain bola sepak berusia 40 tahun itu baru-baru ini turut menandatangani kontrak baharu dengan kelab Arab Saudi, Al Nassr dan membawa Portugal memenangi Liga Negara-Negara UEFA musim panas lalu.
Tahun depan berkemungkinan merupakan peluang terakhir baginya untuk memburu trofi di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.
Seperti dia, Messi juga akan bermain di Piala Dunia keenam – berbeza daripada pelbagai pemain-pemain lain yang hanya muncul lima kali.
Ronaldo — pemenang Liga Juara-Juara lima kali, yang turut menjulang trofi Kejohanan Eropah bersama negaranya — meledak pada setiap separuh masa di Stadium Republikan Vazgen Sargsyan ketika Portugal bermula cemerlang dalam Kumpulan F kelmarin.
Jaringan keduanya adalah menerusi rembatan kencang dari jarak 25 meter sebelum dia meraikan dengan penuh gaya.
Joao Felix turut menjaringkan dua gol dan menjaringkan gol pembukaan selepas hanya 10 minit permainan. Jaringan Joao Cancelo juga tepat sasaran.
“Ia adalah persembahan yang hampir sempurna,” kata pemain tengah Portugal, Vitinha.
Perlawanan Portugal itu adalah yang pertama sejak kematian bekas pemain Diogo Jota dan abangnya Andre Silva dalam kemalangan kereta pada Julai.
Ronaldo menunjuk ke langit selepas gol pertamanya, manakala Cancelo mencipta semula gaya meraikan gol Jota dengan cara duduk bersila dan bermain permainan video.
“Diogo akan sentiasa bersama kami. Meraikan jaringan Joao Cancelo seperti Diogo adalah saat yang indah,” kata pemain tengah Joao Neves. – AP


