Croatia beli 12 jet Perancis

ZAGREB, CROATIA, 25 NOV – Croatia hari ini menandatangani satu perjanjian untuk membeli 12 jet pejuang Rafale dari Perancis bernilai hampir 1 bilion euro (AS$1.2 bilion) yang para pegawai katakan akan memperkukuhkan angkatan udaranya di tengah-tengah ketegangan di Balkan.

Kontrak bagi penggunaan pesawat tempur telah ditandatangani semasa lawatan Presiden Perancis Emmanuel Macron ke Croatia. Ia adalah lawatan pertama oleh ketua negara Perancis ke Croatia sejak ia terpisah dari bekas persekutuan Yugoslav pada perang 1991 hingga 1995.

“Pembelian pesawat-pesawat itu secara strategiknya apa yang kami liat sebagai ejen perubahan bagi Croatia,” kata Perdana Menteri Croatia, Andrej Plenkovic dalam sidang media bersama dengan Macron selepas majlis penandatangan.

“Ini bukan saja akan memberi kita keupayaan untuk menghalang mereka yang mempunyai aspirasi ke arah wilayah kita namun juga menjadi pengeksport keselamatan….kestabilan di tenggara Eropah,” katanya.

Macron berkata perjanjian pesawat udara itu akan memperkukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara dan menyumbang kepada pertahanan Eropah.

Para pegawai Croatia sebelumnya mengatakan pembelian itu bernilai 999 juta euro dan akan melibatkan 10 pesawat Rafale enjin berkembar kerusi tunggal dan dua F3R dua tempat duduk.

Enam Rafales pertama dijadual dihantar pada 2024 dengan selebihnya tahun berikutnya. – AP

Presiden Perancis, Emmanuel Macron (kiri) bersama Perdana Menteri Croatia, Andrej Plenkovic semasa sidang media bersama di Zagreb, Croatia pada 25 November. – AP