OEIRAS, 9 JUN – Croatia menamatkan persiapan Euro 2024 mereka dengan kemenangan 2-1 dalam perlawanan persahabatan yang mengagumkan ke atas Portugal kelmarin.
Skuad kendalian Zlatko Dalic itu menewaskan pemenang Euro 2016 di pinggir bandar Lisbon, Oeiras sebagai amaran kepada saingan Kumpulan B, Sepanyol dan Itali.
Portugal, yang merupakan antara calon untuk memenangi kejohanan, mengalami kekalahan kedua mereka dalam 13 perlawanan di bawah kendalian Roberto Martinez.
Pemain tonggak, Cristiano Ronaldo dibiarkan di bangku simpanan oleh Martinez, di mana pasukannya gagal menyamakan kedudukan pada separuh masa kedua.
“Perlawanan hari ini memberikan hasil negatif. Kami mahu menang, ia adalah cara terbaik untuk berkembang, tetapi hari ini juga terdapat aspek positif yang boleh diambil,” kata Martinez.
Portugal berjaya menang dalam semua perlawanan kelayakan mereka tetapi telah tewas dalam perlawanan persahabatan menentang Slovenia pada Mac, dan kini Croatia.
“Menang menentang Croatia tidak bermakna kami cukup bagus untuk memenangi kejohanan, dan kalah tidak bermakna kami tidak akan layak ke pusingan 16 terakhir,” tambah Martinez.
“Perlawanan persahabatan adalah mengenai persiapan. Kini kami lebih kuat berbanding sebelum perlawanan. Ini bola sepak antarabangsa.
“Kami tewas, Croatia layak menang, tetapi bagi kami ini adalah ujian yang kami perlukan.” – AFP