Monday, April 14, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Croatia siasat penyalahgunaan dana

    ZAGREB, 8 APRIL – Pendakwa raya Eropah hari ini berkata mereka bersama rakan Croatia sedang menjalankan siasatan di Kementerian Luar Croatia berkaitan dakwaan penyalahgunaan dana secara haram.

    Pejabat Pendakwa Raya Awam Eropah (EPPO) berkata ia bersama Biro Pencegahan Rasuah dan Jenayah Terancang Croatia (USKOK) sedang melaksanakan ‘aktiviti pengumpulan bukti dalam siasatan terhadap kemungkinan penyalahgunaan dana di Kementerian Hal Ehwal Luar dan Eropah.’

    Menurutnya, tindakan tersebut diambil ‘berikutan siasatan jenayah berkaitan kemungkinan penyalahgunaan kuasa dan jawatan di kementerian, melibatkan dana daripada Tabung Keselamatan Dalam Negeri Kesatuan Eropah (EU) serta bajet negara Republik Croatia.’

    “Selepas sesi soal siasat terhadap suspek, EPPO akan membuat keputusan mengenai tindakan lanjut,” katanya sambil menambah tiada butiran lanjut akan diumumkan buat masa ini.

    Croatia telah lama bergelut menangani isu rasuah yang berleluasa. Komitmen untuk memerangi rasuah merupakan syarat utama yang membolehkan negara itu menyertai Kesatuan Eropah pada 2013.

    Sejak Perdana Menteri Andrej Plenkovic dari parti konservatif HDZ mengambil alih kuasa pada 2016, beberapa orang menterinya telah meletak jawatan susulan dakwaan rasuah.

    EPPO yang berpangkalan di Luxembourg bertanggungjawab menyiasat penyelewengan dana bajet EU, dengan pendakwa raya delegasi ditempatkan di kesemua 27 buah negara anggota persatuan tersebut. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda