ZAGREB, 1 Ogos – Croatia menjadi negara pertama di rantau Adriatik yang menawarkan Google Pay untuk pembayaran di kedai dan di semua platform Google mulai 1 Ogos, lapor agensi berita Croatia HINA.
“Ia adalah cara selamat, cepat dan mudah, menggabungkan perkhidmatan dompet maya dan Android Pay, yang memberikan pengguna perkhidmatan lebih baik,” kata wakil Google Adriatic.
Tiada pembayaran menggunakan kad secara fizikal, segalanya melalui aplikasi telefon pintar. Buat masa ini, perkhidmatan itu disokong perbankan dalam talian PBZ dan kad Visa Inspire.
Terdapat perancangan untuk bekerjasama dengan bank lain juga, katanya.
Buat masa ini perkhidmatan itu tersedia untuk telefon pintar Android dan selepas ini mungkin akan diperkenalkan kepada pengguna iPhone dan pelanggan bank lain juga.
Google Pay boleh didapati di 20 negara. Google Adriatic memilih Croatia sebagai negara pertama di rantau ini untuk melancarkan perkhidmatan itu berdasarkan kemajuan, pertumbuhan dan potensi negara tersebut.
Di samping itu, penggunaan telefon pintar, Internet dan pembayaran tanpa sentuh juga meluas di Croatia. – Bernama