Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 SEPT – Berpandukan Pelan Induk Ekonomi Digital 2023, perjalanan Negara Brunei Darussalam menuju transformasi ke arah sebuah negara pintar menerusi transformasi digital disokong oleh pendekatan senegara yang mengalu-alukan penyertaan aktif daripada pemain-pemain industri utama yang beroperasi di sektor awam dan swasta.
Darussalam Assets Sdn Bhd (DA) mewakili bahagian penting dalam inisiatif diterajui kerajaan untuk memacu pembangunan ekonomi dan mewakili dana yang menyediakan infrastruktur dan perkhidmatan kepada negara melalui portfolio syarikat-syarikat di bawah bidang kuasanya.
Konsep sebuah digital ekonomi amat bermanfaat di mana ia memastikan peningkatan produktiviti, kecekapan, urus tadbir dan keberkesanan kos.
Atas sebab tersebut dan sejajar dengan visi DA untuk meningkatkan proses dan sistem, DA dan kumpulan syarikatnya telah memulakan projek serata kumpulan bagi pelaksanaan sebuah Sistem Pengambilan Pekerja Berpusat (Centralised Recruitement System, CRS) bagi menjana sebuah platform pengambilan pekerja tunggal bagi DA dan Kumpulan DA.
Projek itu akan dikendalikan secara berfasa sepanjang tahun hadapan. Sebagai majikan kepada lebih 7,500 warga Brunei, Kumpulan DA secara aktif sedang berusaha melihat kepada bakat-bakat tempatan untuk mengisi pelbagai kedudukan utama dalam syarikat-syarikatnya yang beroperasi dalam sektor-sektor seperti penerbangan, telekomunikasi, utiliti kuasa, logistik, agriperniagaan, makanan dan minuman, pelancongan dan riadah, perubatan, pendidikan, hospitaliti dan hartanah.

Setakat September 2023, platform berkenaan telah dilancarkan dengan 12 GLCs dan ia boleh diakses melalui laman sesawang dimiliki oleh DA, Jerudong Park Country Club Sdn Bhd (JPCC), Jerudong Park Medical Centre Sdn Bhd (JPMC), Makan Ceria Sdn Bhd, Muara Maritime Services Sdn Bhd (MMS), National Digital Payments Network Sdn Bhd (NDPX), Royal Brunei Airlines Sdn Bhd (RB), Royal Brunei Culinary (RBC), The Empire Brunei, Unified National Networks Sdn Bhd (UNN), PosBru Sdn Bhd dan Comquest Sdn Bhd atau melalui https://careers.da.com.bn/.
Antara faedah lain, CRS memperkemaskan proses-proses pengambilan di serata syarikat-syarikat yang mengambil bahagian dan meminimumkan tugas pentadbiran sambil menubuhkan sebuah kumpulan bakat sistematik untuk mengoptimumkan pengambilan dan perancangan penggantian di serata Kumpulan DA, menjana sebuah proses adil dan telus bagi semua pihak yang berkepentingan.
Pencari-pencari pekerjaan akan mengalami pengalaman calon yang positif seperti boleh menghasilkan satu profil bagi pelbagai permohonan kepada pelbagai syarikat, memantau secara aktif status permohonan dan mengurus tawaran-tawaran pekerjaan secara digital serta dengan mudah di hujung jari mereka dengan hubungan internet.
Para graduan dan pencari kerja adalah digalakkan untuk menjadi sebahagian daripada Komuniti Bakat CRS dengan mendaftar secara atas talian melalui laman sesawang CRS.