Thursday, September 19, 2024
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    CSB, BCSA anjur Persidangan Keselamatan Siber Brunei ke-2

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 SEPT – Dalam usaha untuk mengatasi ancaman digital dan meneroka penyelesaian inovatif, Cyber Security Brunei (CSB) dan Persatuan Keselamatan Siber Brunei (BCSA) telah menganjurkan Persidangan Keselamatan Siber Brunei ke-2 (CySec 2024), selama dua hari di Indera Samudra Grand Hall, The Empire Brunei, hari ini.

    Perasmian pelancaran CySec 2024 telah disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, selaku menteri yang bertanggungjawab ke atas keselamatan siber.

    Persidangan bertema Kewaspadaan Siber dan Kedaulatan Data: Melindungi Horizon Digital itu bertujuan menekankan kepentingan keselamatan siber dalam landskap digital dan meningkatkan pemahaman serta pelaksanaan langkah keselamatan siber yang berkesan dalam kalangan organisasi tempatan.

    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary dalam ucapan mengatakan bahawa keselamatan siber adalah lebih daripada sekadar teknologi, ia juga tentang memupuk budaya kewaspadaan. Ketika ancaman berkembang, kewaspadaan akan sentiasa menjadi salah satu pertahanan paling kuat dalam melindungi apa yang paling berharga.

    Menurut Yang Berhormat Dato lagi, pada 2023, Asia Tenggara mengalami gelombang serangan siber yang belum pernah berlaku selama ini yang menyasarkan sektor kritikal seperti kesihatan, kerajaan dan institusi kewangan, sekali gus menjejaskan perkhidmatan dan infrastruktur digital.

    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary semasa menyempurnakan penyampaian anugerah kepada Dr Rosyzie Anna. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Pasukan yang menyertai pertandingan Cyber Battle: Capture the Flag 2024 bergambar ramai semasa majlis tersebut. – GAMBA OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    “Adalah juga penting untuk memahami dan membezakan antara ancaman siber dan jenayah siber. Kedua-duanya membawa risiko yang signifikan tetapi berbeza yang perlu ditangani dengan strategi tersendiri,” kata beliau.

    Ancaman siber terutamanya melibatkan serangan terhadap infrastruktur kritikal, kebocoran data dan gangguan kepada perkhidmatan, yang menyasarkan keselamatan negara, kestabilan ekonomi dan keselamatan awam. Sebaliknya, jenayah siber, seperti penipuan, kecurian identiti dan penipuan, biasanya bermotifkan kewangan dan secara langsung memberikan impak kepada warganegara dan perniagaan.

    “Untuk menangani ancaman siber, tumpuan kami mesti kepada memperkuat pertahanan siber negara dan bekerjasama dengan negara lain bagi mencegah musuh. Sebaliknya, pencegahan jenayah siber memerlukan pendekatan proaktif, termasuk kempen kesedaran, keupayaan penguatkuasaan undang-undang dan memanfaatkan teknologi yang sedang berkembang seperti AI dan pembelajaran mesin untuk mengesan dan mencegah aktiviti penipuan,” tambah beliau.

    Menyentuh mengenai ekonomi digital yang selamat, Yang Berhormat Dato berkata keselamatan infrastruktur digital Brunei adalah sangat penting untuk kemajuan ekonomi dan kesejahteraan negara. Sebagai respons kepada keperluan mendesak ini, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah mengambil tindakan tegas dengan penggubalan Akta Keselamatan Siber 2023, untuk melindungi Infrastruktur Maklumat Kritikal (CII).

    Menurut Yang Berhormat Dato, langkah-langkah proaktif telah diambil untuk melindungi CII, membina infrastruktur yang berdaya tahan dan meningkatkan pemantauan masa nyata untuk mengesan dan meneutralkan ancaman siber sebelum mereka mendatangkan bahaya.

    “Selain itu, CSB juga memainkan peranan penting dalam menyatukan kerajaan, industri dan komuniti ke arah masa depan digital yang selamat. Pejabat CII yang baru ditubuhkan merupakan pusat pelaksanaan strategi perlindungan berkenaan,” kata beliau.

    Pada acara itu, agenda komprehensif yang memfokuskan kepada kewaspadaan siber dan kedaulatan data ditekankan menerusi ucaptama, bengkel dan pameran yang menampilkan teknologi terkini dalam bidang keselamatan siber.

    Peserta utama yang mengambil bahagian dalam pameran termasuk penyedia keselamatan siber terkemuka Recorded Future, Tenable, Keysight, Nexagate, Swarmnetics, KnowBe4, Fortinet dan Deloitte.

    Sementara itu, Cyber Battle: Capture the Flag, satu pertandingan keselamatan siber oleh IT Protective Security Services Sdn Bhd (ITPSS) juga diadakan bersempena persidangan, di mana 10 pasukan penggodam menguji kemahiran mereka dalam perlawanan sengit lapan jam untuk menyelesaikan cabaran keselamatan siber yang mensimulasikan senario IT dunia sebenar.

    Majlis turut diisikan dengan Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) yang menyaksikan beberapa MoU ditandatangani di antara ITPSS dan Group-IB Global Pte Ltd mengenai kerjasama keselamatan siber; MoU di antara ITPSS dan Nexagate Sdn Bhd mengenai tadbir urus keselamatan siber, pengurusan risiko dan perkhidmatan pematuhan, MoU di antara ITPSS dan CyberSecurity Malaysia (CSM) mengenai kerjasama keselamatan siber; MoU di antara BCSA dan CyberSecurity Malaysia (CSM) mengenai Global ACE Certification Brunei Chapter; MoU di antara BCSA dan Synergy Skills Sdn Bhd mengenai pembangunan profesional dan pensijilan untuk pengamal keselamatan siber; dan Perjanjian Kerjasama di antara Progresif Sdn Bhd dan ST Engineering Info-Security Pte Ltd mengenai penubuhan dan operasi penyelesaian keselamatan siber, khususnya melalui penyediaan Pusat Operasi Keselamatan.

    Mengenai kolaborasi di antara CSB dan Trend Micro, Trend Micro telah menyampaikan 10,000 kunci lesen antivirus untuk diedarkan kepada pelajar dan 5,000 kunci lesen kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan nilai keseluruhan AS$300,000.

    Kunci lesen antivirus tersebut diterima Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad bagi pihak pelajar manakala Presiden BCSA, Awang Mohamad Azad Zaki bin Haji Mohd Tahir, menerimanya bagi pihak PKS.

    Pada majlis itu, BCSA juga mengiktiraf pemenang Anugerah Wanita Teratas dalam Keselamatan ASEAN di mana pensyarah Universiti Brunei Darussalam, Dr Rosyzie Anna binti Haji Mohd Apong telah dipilih sebagai pemenang Anugerah Jurulatih dan Pendidik Keselamatan 2024, selain Anugerah Negara 2024 untuk Brunei. Manakala Jasmine Wong diiktiraf sebagai pemenang Anugerah Negara 2023 untuk Brunei.

    Acara berakhir dengan penyampaian hadiah Cyber Battle: Capture the Flag 2024 oleh Timbalan Menteri (Sekuriti dan Undang-undang) di Jabatan Perdana Menteri, Dato Seri Paduka Haji Sufian bin Haji Sabtu, kepada para pemenang.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda