BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JAN – Cyber Security Brunei (CSB) mengumumkan kejayaannya dalam peralihan daripada piawaian ISO/IEC 27001:2013 kepada ISO/IEC 27001:2022, sebagai bukti komitmennya dalam mengekalkan amalan keselamatan maklumat bertaraf dunia.
Pemantauan dan audit peralihan telah dijalankan oleh Cybersecurity Malaysia dari 3 hingga 5 Disember 2024 bertempat di Ibu Pejabat CSB, untuk menilai pematuhan CSB terhadap piawaian terkini.
Audit tersebut merangkumi Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat (ISMS) yang dikendalikan oleh IT Protective Security Services Sdn Bhd (ITPSS), serta perkhidmatan utama CSB seperti Brunei Computer Emergency Response Team (BruCERT), Makmal Forensik Digital Kebangsaan dan Pusat Pemantauan Siber.
Entiti-entiti berkenaan memainkan peranan penting dalam menyelaras usaha keselamatan siber, memudahkan siasatan forensik digital dan memantau infrastruktur maklumat kritikal (CII) terhadap ancaman siber.
Peralihan CSB kepada ISO/IEC 27001:2022 melibatkan kemas kini kawalan seperti Kecerdasan Ancaman, Kesediaan ICT untuk Kelangsungan Perniagaan dan Pengekodan Selamat.
Kawalan-kawalan terkini tersebut kini disusun semula kepada empat kategori – Organisasi, Individu, Fizikal dan Teknologi dan dikurangkan kepada 93 berbanding 114 yang terdahulu, bagi mempermudah proses serta meningkatkan daya tahan keselamatan siber selaras dengan piawaian antarabangsa yang semakin berkembang.
Kejayaan dalam menyelesaikan audit itu membawa kepada pengeluaran sijil ISO/IEC 27001:2022 pada 16 Januari lalu.
Pencapaian tersebut mengukuhkan peranan CSB dalam mencipta ruang siber yang lebih selamat dan memajukan visi Negara Brunei Darussalam sebagai Negara Pintar yang terhubung.