SHANGHAI, 13 Mac – Pemain import Pasukan Tianjin Quanjian dari Brazil, Alexandre Pato terlepas sepakan penalti minit ke-88 ketika Pasukan Shanghai Shenhua yang beraksi dengan 10 pemain bertahan bagi keputusan seri 1-1 dalam persaingan Liga Super China baru-baru ini.
Pemain dari Brazil itu, yang berharga 18 juta euro (AS$19.2 juta) dari Villarreal pada Januari lalu, melepaskan sepakan yang melepasi palang selepas pengadil Li Haixin mencetuskan reaksi kemarahan dari peminat di Stadium Hongku, Shanghai dengan menganugerahkan sepakan penalti kerana terkena tangan.
Bekas bintang AC Milan, Pato diejek selepas terlepas sepakan itu oleh pemain tengah Shenhua, Sun Shilin, yang secara menyindir melakukan sorakan di belakang pemain penyerang itu dan memberikan isyarat mengangkat ibu jari dimukanya.
Pemain dari Brazil itu, 27, yang ditandatangani oleh pengurus, Fabio Cannavaro pada pertukaran musim sejuk, mengharungi permulaan yang sukar dan belum menjaringkan gol sepanjang kerjayanya di China.
Dia terlepas beberapa peluang untuk membuka jaringan apabila Tianjin tewas 2-0 menentang Guangzhou R&F dalam perlawanan pembukaan mereka minggu lalu musim ini.
“Dalam bola sepak, ramai pemain yang terlepas sepakan penalti,” kata Cannavaro, menurut akhbar Shanghai Daily. “Saya melihatnya sebagai nasib buruk. Pada keseluruhannya saya gembira dengan permainan pasukan.”
Ia adalah penamat yang dramatik bagi perlawanan yang dicemari dengan babak marah dan menyaksikan pasukan kendalian Gus Poyet, Shenhua dikurangkan kepada 10 pemain pada separuh masa pertama.
Qin Sheng dilayangkan kad merah kerana melakukan terjahan ke atas buku lali pemain bintang Quanjin dari Belgium, Axel Witsel.
Ia menyebabkan pemain penyerang dari Argentina, Carlos Tevez, yang dilaporkan pemain yang menerima bayaran tertinggi di dunia dengan gaji 38 juta euro setahun, berseorangan di bahagian serangan. – AFP