Friday, May 2, 2025
26.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    CSPS laksana kajian YDI 2025

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MEI – Pusat Kajian Strategik dan Dasar (CSPS) akan menjalankan Kajian Indeks Pembangunan Belia (YDI) 2025 bermula dari 2 Mei hingga 30 Jun ini.

    Objektif kajian itu adalah untuk memahami tahap pembangunan belia di Negara Brunei Darussalam dan seterusnya menyediakan cadangan-cadangan dasar strategik ke arah pencapaian Wawasan Brunei 2035. Kajian itu adalah projek bersama antara Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dengan CSPS.

    Temu bual secara bersemuka akan dijalankan di seluruh negara, melibatkan 1,400 orang belia yang berumur antara 15 hingga 35 tahun dan dijangka mengambil masa selama 60 minit.

    CSPS telah melantik 50 orang penemubual untuk melaksanakan kajian ini di keempat-empat daerah. Penemubual-penemubual tersebut akan menerima latihan intensif sebelum kajian dijalankan.

    Segala maklumat yang dikumpulkan semasa kajian tersebut akan dirahsiakan dan hanya akan digunakan untuk tujuan statistik sahaja. Semua jawapan merupakan maklumat sulit, dan kajian itu tidak memerlukan maklumat peribadi seperti nama atau nombor kad pengenalan.

    Isi rumah yang terpilih diingatkan untuk memastikan bahawa penemubual yang mengunjungi premis mereka adalah yang telah dilantik oleh CSPS, dengan mengesahkan pas kaji selidik, surat pelantikan dan kad pengenalan mereka.

    Untuk sebarang pertanyaan mengenai Kajian YDI 2025, sila hubungi CSPS di talian 2445821 atau 8679841 pada waktu pejabat, e-mel ke survey@csps.org.bn, atau layari www.csps.org.bn.

    Gambar Pexel
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda