BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Mei – Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) hari ini melancarkan Sistem Statistik Berpusat (CSS) sebagai portal tunggal bagi membolehkannya mengumpulkan data dan maklumat daripada semua pihak berkepentingan yang berkaitan.
Pihak-pihak berkenan termasuk institusi kewangan yang dikawal selia oleh AMBD seperti institusi perbankan, syarikat kewangan, syarikat takaful dan insurans, pihak yang mempunyai Lesen Perkhidmatan Pasaran, syarikat pertukaran wang, syarikat pengiriman wang dan syarikat pajak gadai.
Menurut kenyataan AMBD, data dan maklumat yang dikumpulkan akan disimpan di dalam CSS dan dianalisa sebelum digunakan untuk menghasilkan laporan-laporan yang lebih mendalam dan terperinci.
Penggunaan sistem ini akan meningkatkan kualiti data dan kitar hayat pengumpulan data dengan adanya proses pengesahan secara automatik.
Sistem ini akan mengemas kini proses pengumpulan maklumat dari AMBD dan dari pihak-pihak yang berkepentingan sementara memelihara kualiti, konsistensi dan integriti data.
Proses secara automatik ini juga akan memendekkan masa bagi mendapatkan semula data, membuat penganalisaan dan pengedaran data.
CSS merupakan sebuah platform generasi masa depan yang dapat membantu AMBD meningkatkan fungsi pemantauan dan pengawalseliaan serta mengenal pasti risiko yang wujud secara berkesan apabila dilaksanakan sepenuhnya selaras dengan Pelan Sektor Kewangan AMBD untuk mengekalkan kestabilan monetari dan kewangan serta usaha untuk membangunkan infrastruktur kewangan yang moden dan teguh.
Dengan penggunaan teknologi ini, semua ahli berkepentingan akan dapat menjalankan tugas mereka secara lebih cekap dan produktif.
Bagi sistem ini, AMBD telah bekerjasama dengan Syarikat Vizor Limited, sebuah syarikat yang ternama dan mempunyai pengalaman luas dalam membekalkan sistem bagi pengumpulan data-data kewangan dan teknologi kawal selia.
Sistem Vizor juga telah digunakan oleh bank-bank pusat dan institusi pengawal selia kewangan di lebih daripada 30 buah negara. Di antara institusi yang menggunakan sistem Vizor termasuk Bank of England, Bank of Canada dan Saudi Arabian Monetary Authority.
Negara Brunei Darussalam merupakan negara pertama di Asia Tenggara yang menggunakan sistem tersebut sejak penubuhan syarikat tersebut pada tahun 2000.