Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 SEPT – Cuaca Negara Brunei Darussalam diramalkan aktif untuk beberapa hari akan datang bermula kelmarin hingga 11 September dengan hujan berpetir, sekali-sekala lebat dan berangin kencang dijangka melintasi kawasan pedalaman pada waktu petang dan boleh merebak ke kawasan pesisiran negara pada waktu malam dengan kelajuan angin boleh meningkat sehingga 50kmsj semasa hujan lebat atau berangin kencang.
Sementara itu, keadaan laut pada amnya berombak di paras sedikit ke sederhana, di antara 0.5-1.5 meter.
Maklumat keadaan cuaca negara berkenaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, di sini, turut menyatakan Negara Brunei Darussalam pada masa ini akan menuju ke penghujung monsun barat daya menjelang akhir September.
Semasa monsun tersebut, keadaan atmosfera di negara pada kebiasaannya agak stabil dengan kejadian ribut petir berkurangan berbanding semasa monsun peralihan dengan keadaan angin secara amnya akan bertiup dari arah barat daya semasa tempoh berkenaan.
Orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan dengan risiko banjir kilat berlaku terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat berterusan dan semasa kejadian air pasang.
Di samping itu, risiko pokok tumbang dan kejadian tanah susur juga boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin kencang.
Dalam hubungan itu, orang ramai termasuk pemandu di jalan raya dan pelaut, dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh BDMD serta membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.