Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cuaca aktif hingga 20 November

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 NOV – Keadaan cuaca aktif diramalkan berlaku bermula esok hingga 20 November dengan hujan lebat dan berpetir sekali-sekala terutama di kawasan pedalaman pada lewat petang.

    Jabatan Kaji Cuaca Brunei Darussalam (BDMD) dalam kenyataannya hari ini menyatakan cuaca aktif akan berlaku dari semasa ke semasa dan merebak ke kawasan pesisiran pantai dan laut pada waktu malam dan berkemungkinan akan berpanjangan hingga esok pagi.

    Keadaan tersebut disebabkan oleh pertembungan luruan angin sejuk dengan kesan angin tempatan yang menjadikan keadaan atmosfera lebih lembap dan seterusnya meningkatkan pembentukan awan-awan hujan.

    Pada amnya, Negara Brunei Darussalam masih berada di dalam tempoh peralihan monsun yang dijangka berterusan sehingga hujung bulan November 2023.

    Sepanjang tempoh itu, kesan angin tempatan memainkan peranan yang penting dalam mempengaruhi cuaca harian dengan kelajuan angin boleh meningkat sehingga 45kmsj semasa atau dekat hujan lebat dan berpetir.

    Di perairan Brunei, keadaan laut pada amnya berombak di paras sedikit ke sederhana, sehingga 1.5 meter.

    Sehubungan dengan itu, BDMD menasihatkan orang ramai untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku kerana terdapat risiko tinggi berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat yang berterusan dan semasa kejadian air pasang.

    Risiko pokok tumbang dan tanah susur juga boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin. Keadaan laut adalah berbahaya bagi operasi bot-bot kecil, aktiviti rekreasi dan sukan laut.

    Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh BDMD dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

    BDMD akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.

    Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit Brunei WX atau hubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114 atau layari laman sesawang www.met.gov.bn, Facebook (@bruneiweather), Instagram (@brunei.weather) dan saluran Telegram (Brunei Weather).

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda