Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cuaca aktif hingga 25 Ogos ini

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OGOS – Keadaan cuaca Negara Brunei Darussalam diramalkan aktif bagi beberapa hari akan datang bermula malam ini hingga 25 Ogos dengan hujan lebat dijangka berlaku pada waktu awal pagi terutama di kawasan pesisiran negara.

    Kelajuan angin boleh meningkat sehingga 50kmsj semasa atau dekat hujan lebat berpetir. Sementara itu, keadaan laut pada amnya berombak di paras sedikit ke sederhana, di antara 0.5 hingga 1.4 meter.

    Maklumat keadaan cuaca negara berkenaan, dikeluarkan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, di sini, dengan jabatan berkenaan turut menyatakan bahawa Negara Brunei Darussalam pada masa ini berada di dalam monsun barat daya yang pada lazimnya akan berterusan sehingga September.

    Semasa monsun barat daya ini, keadaan atmosfera di negara ini pada kebiasaannya adalah agak stabil dengan kejadian ribut petir berkurangan berbanding semasa monsun peralihan. Keadaan angin secara amnya akan bertiup dari arah barat daya semasa tempoh berkenaan.

    Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku dengan terdapat risiko berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat yang berterusan dan semasa kejadian air pasang.

    Keadaan cuaca Negara Brunei Darussalam diramalkan aktif bagi beberapa hari akan datang hingga 25 Ogos ini. – GAMBAR FAIL MUIZ MATDANI

    Di samping itu, risiko pokok tumbang juga boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin kencang.

    Oleh itu, orang ramai termasuk pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh BDMD dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

    BDMD juga akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.

    Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit BDMD iaitu Brunei WX, yang mana maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan.

    Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperoleh dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca melalui Talian Cuaca 114, melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook (@bruneiweather), Instagram (@brunei.weather) dan saluran Telegram (Brunei Weather).

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda